ad

MPAJ pasang sistem amaran awal bencana, siap siaga hadapi musim hujan

7 Nov 2025, 7:01 AM
MPAJ pasang sistem amaran awal bencana, siap siaga hadapi musim hujan

SHAH ALAM, 7 NOV: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi musim hujan dengan pemasangan sistem amaran awal bencana berhampiran Taman Bukit Permai, kira-kira 500 meter dari Mutiara Court.

Pengarah Jabatan Kejuruteraan MPAJ Ir Zafrul Fazry Mohd Fauzi berkata sistem itu berfungsi memantau data hujan dan memberi amaran awal kepada agensi keselamatan sekiranya berlaku pergerakan tanah atau risiko runtuhan.

“Langkah ini diambil sebagai tindakan proaktif bagi menjamin keselamatan penduduk di kawasan berisiko tinggi, khususnya ketika hujan berterusan,” katanya ketika dihubungi Media Selangor hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan berkala mendapati terdapat tumbuhan liar di permukaan cerun selain kerja pemasangan wire netting telah dilaksanakan.

Pemeriksaan dan kerja pembersihan turut dijalankan di hadapan Blok 3 pada April lalu serta di Blok 1 dan Blok 2 pangsapuri berkenaan pada September.

“MPAJ juga akan menjalankan kajian semula terhadap keseluruhan kawasan Mutiara Court sebagai langkah perlindungan tambahan,” katanya.

Zafrul Fazry turut memaklumkan kerja pembersihan sisa runtuhan di lokasi kejadian telah siap sepenuhnya semalam dan penghadang plastik dipasang sebagai langkah keselamatan sementara.

Beliau dalam masa sama menasihati penduduk supaya lebih peka terhadap keadaan sekeliling serta tidak meletakkan kenderaan terlalu hampir dengan kaki cerun, terutamanya ketika musim hujan.

Sebelum ini, media melaporkan enam kenderaan rosak akibat runtuhan batu dari cerun bukit berhampiran Mutiara Court, Bukit Permai pada 3 November lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata lima kenderaan berjaya dikeluarkan manakala sebuah Perodua Kancil mengalami kerosakan menyeluruh. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.