ad

MPKL anjur program pemandulan bersubsidi, kawal populasi haiwan terbiar

7 Nov 2025, 2:53 AM
MPKL anjur program pemandulan bersubsidi, kawal populasi haiwan terbiar

KUALA LANGAT, 7 NOV: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dengan kerjasama Society for the Prevention of Cruelty to Animals (SPCA) Selangor menganjurkan Program Mini Potong Royong X MPKL pada 12 hingga 14 November ini.

MPKL dalam kenyataan berkata program tiga hari di Dewan Orang Ramai MPKL Jenjarom itu melibatkan aktiviti pemandulan anjing dan kucing peliharaan bagi mengawal populasi haiwan terbiar secara berhemah dan bertanggungjawab.

"MPKL memperuntukkan subsidi berjumlah RM8,000 bagi membantu pemilik haiwan menampung kos rawatan, sekali gus menyokong usaha memperkukuh kebajikan haiwan serta memastikan persekitaran lebih bersih dan harmoni.

“Langkah ini sejajar dengan komitmen MPKL untuk memupuk kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab pemilikan haiwan, di samping mengurangkan risiko penyakit serta masalah haiwan terbiar,” jelas kenyataan itu.

Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan, sebanyak 40 ekor kucing akan dipemandulkan setiap hari pada 12 dan 13 November, manakala 30 ekor anjing pada 14 November.

Penyertaan terbuka kepada pemilik haiwan yang membuat temujanji menerusi laman sesawang qmed.asia/potongroyong.

MPKL turut menggalakkan penyertaan aktif masyarakat setempat bagi menjayakan inisiatif berkenaan yang turut mendapat sokongan pertubuhan kebajikan haiwan SPCA Selangor.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran MPKL di talian 012-300 4847.