SHAH ALAM, 6 NOV: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) meraih pencapaian membanggakan di peringkat antarabangsa apabila dua kumpulan inovasinya berjaya merangkul Anugerah Emas dalam Konvensyen Antarabangsa Lingkaran Kawalan Kualiti (ICQCC 2025)di Taipei International Convention Center (TICC), Taiwan, baru-baru ini.
Pihak berkuasa tempatan itu dalam kenyataan memberitahu kejayaan berkenaan diraih menerusi kumpulan Work Smart daripada Jabatan Khidmat Pengurusan/Unit Integriti yang membentangkan projek inovasi bertajuk ‘E-Exam System’.
"Projek ini dibangunkan bagi menangani isu integriti calon semasa peperiksaan pengambilan kakitangan baharu serta mengurangkan kos dan tempoh pelaksanaan peperiksaan di MPKS," katanya.
Sementara itu, kumpulan FLEXI daripada Jabatan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Pelesenan serta Unit Korporat, Pelancongan dan Perhubungan Awam pula meraih anugerah menerusi projek bertajuk ‘Flexi Flag Pole 2.0’.
"Flexi Flag Pole 2.0 merupakan versi penambahbaikan kepada rekaan tiang bendera fleksibel yang menekankan ketahanan, kestabilan dan kemudahan pemasangan.
"Inovasi ini dihasilkan bagi mengatasi aduan tinggi berkaitan pemasangan tiang bendera bagi program rasmi," menurut kenyataan itu.
MPKS berkata kejayaan itu membuktikan kesungguhan MPKS dalam mempertingkat mutu penyampaian perkhidmatan ke arah kecemerlangan organisasi serta mengharumkan nama Kuala Selangor di persada antarabangsa.
Penganjuran ICQCC tahun ini menghimpunkan lebih 300 kumpulan inovasi daripada 16 buah negara, menjadikannya salah satu platform inovasi berprestij yang mengiktiraf usaha pasukan berkualiti dan penyelesaian kreatif dari seluruh dunia.




