ad

Sekolah tidak berdaftar Jais, 80 murid tidak layak menduduki UPKK

5 Nov 2025, 7:01 AM
Sekolah tidak berdaftar Jais, 80 murid tidak layak menduduki UPKK

SHAH ALAM, 5 NOV: Seramai 80 murid Sekolah Rendah Islam (SRI) Al Afsari, Saujana Putra, Puchong tidak dibenarkan menduduki Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) tahun ini kerana tidak berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Pengarah Jais Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata peperiksaan UPKK dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), manakala JAIS bertindak sebagai badan perantara di negeri ini mengikut syarat yang ditetapkan.

"SRI Al Afsari tidak berdaftar dengan JAIS mengikut Seksyen 12 Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Negeri Selangor) 1988 (Pindaan 2001). Disebabkan itu, Jakim selaku penganjur tidak membenarkan pelajar sekolah berkenaan menduduki UPKK sesi 2025," katanya dalam kenyataan.

Mohd Shahzihan menjelaskan, sekolah berkenaan sebelum ini dikenali sebagai SRI Al Fakri dan hanya memperoleh kelulusan penubuhan sementara pada 29 November 2012.

Meskipun Jais telah memberi peringatan supaya memohon pendaftaran penuh selepas tempoh sementara tamat, permohonan hanya dikemukakan semula pada 21 Disember 2023.

Beliau menegaskan, Jais akan mempertimbangkan pendaftaran penuh selepas pihak sekolah mematuhi kurikulum serta syarat ditetapkan, termasuk mendapat pengesahan kesihatan dan keselamatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, serta kelulusan kebenaran merancang (KM) daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk penukaran status rumah kedai kepada institusi pendidikan.

"Bagaimanapun, SRI Al Afsari masih belum dapat didaftarkan kerana tiada sokongan daripada JBPM dan tiada kelulusan KM daripada PBT," katanya,

Jais berharap insiden ini menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya mematuhi undang-undang dan ketetapan yang ditetapkan.

Mohd Shahzihan menasihatkan ibu bapa memastikan anak-anak hanya dihantar ke sekolah agama berdaftar bagi mengelakkan masalah sama berulang.

Beliau turut mengingatkan umat Islam supaya tidak membuat tuduhan tanpa usul periksa, yang boleh menimbulkan fitnah dan menjejaskan imej institusi agama, termasuk peranan Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam Negeri, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jakim.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri mengarahkan JAIS menyegerakan urusan penempatan 80 murid SRI Al Afsari bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada menduduki UPKK.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata langkah segera itu membolehkan semua calon menduduki peperiksaan di sekolah berhampiran yang berdaftar dengan JAIS tanpa gangguan.