SHAH ALAM, 5 NOV: Kerajaan Negeri mengarahkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyegerakan urusan penempatan 80 murid Sekolah Rendah Islam al-Afsari bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada menduduki Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) tahun ini.
EXCO Hal Ehwal Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata langkah segera itu diambil bagi membolehkan semua calon berkenaan menduduki peperiksaan di sekolah berhampiran yang berdaftar dengan Jais tanpa sebarang gangguan.
“Kerajaan Negeri telah mengarahkan Jais menyegerakan urusan penempatan agar 80 calon ini dapat mengambil peperiksaan UPKK di sekolah berhampiran yang berdaftar dengan Jais dan proses berjalan lancar,” katanya ketika dihubungi Media Selangor hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan berhubung 80 murid sebuah sekolah agama swasta di Saujana Putra, Puchong yang gagal didaftarkan untuk peperiksaan UPKK selepas institusi berkenaan didapati tidak berdaftar dengan Jais serta tidak memiliki kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.
Peperiksaan UPKK dijadual berlangsung dari 17 hingga 20 November. Beberapa ibu bapa sebelum ini meluahkan kebimbangan apabila dimaklumkan mengenai kegagalan pendaftaran anak mereka dalam satu perjumpaan di sekolah pada Ahad lalu.
Dr Fahmi berkata, Kerajaan Negeri komited memastikan tiada calon tercicir dari menduduki peperiksaan penting itu, dan JAIS dijangka memaklumkan kaedah penyelarasan penempatan calon dalam masa terdekat.
“Fokus utama kami adalah memastikan semua calon terlibat mendapat tempat dan boleh menduduki UPKK tanpa masalah,” jelasnya.





