SHAH ALAM, 4 NOV: Kebajikan guru takmir terus mendapat perhatian menerusi kelulusan sumbangan sekali beri (one-off) dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam Belanjawan 2027.
Langkah itu selari dengan usaha memperkukuh peranan guru takmir sebagai penggerak pengajian agama di masjid, surau dan agensi terpilih, sekali gus memastikan penyampaian ilmu agama kepada masyarakat dapat diteruskan.
Menurut Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), usaha berkenaan turut diketengahkan menerusi Multaqa Guru-Guru Takmir Peringkat Negeri Selangor 2026 yang julung kali dianjurkan dengan menghimpunkan 242 guru takmir dari sembilan daerah.
“Daripada jumlah itu, 157 guru takmir mengendalikan kelas pengajian di masjid dan surau manakala 85 lagi berkhidmat di pusat di bawah Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
“Komitmen guru takmir berkenaan turut memastikan 2,178 kelas pengajian dapat dilaksanakan setiap bulan di seluruh Selangor sekali gus menyokong kesinambungan penyampaian ilmu agama kepada masyarakat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Program Takmir Masjid dan Surau yang dilaksanakan sejak 1985 itu antara usaha mengimarahkan institusi masjid dan surau menerusi pengajian berkitab serta penyampaian ilmu agama kepada masyarakat.
Dalam pada itu, JAIS turut memperkenalkan Sistem MyTakmir pada Julai lalu bagi menggantikan kaedah pengurusan manual, sekali gus memudahkan urusan pengurusan dan mempercepatkan penyaluran elaun bulanan guru takmir.
Multaqa yang berlangsung di Dewan Serbaguna Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong pada 31 Oktober itu turut menjadi platform perkongsian ilmu, penyelarasan maklumat serta pengukuhan jaringan kerjasama dalam kalangan guru takmir.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 memaklumkan seramai 40,000 petugas masjid dan tenaga pengajar agama di seluruh negara bakal menikmati caruman PERKESO.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata keseluruhan caruman bagi imam, bilal, tok siak, noja, marbut dan guru takmir itu akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan melalui Lembaga Tabung Haji (TH).









