SHAH ALAM, 20 NOV: Sekolah Rendah Islam (SRI) al-Afsari di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat masih belum memperoleh kelulusan penuh daripada pihak berkuasa untuk beroperasi, menurut Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Bahagian Pendidikan Islam Jais memaklumkan sekolah itu sehingga kini belum mengemukakan permohonan pendaftaran rasmi seperti yang ditetapkan di bawah prosedur pendaftaran institusi pendidikan Islam di negeri ini.
Menurut Jais, pihak sekolah hanya memaklumkan secara lisan bahawa Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) telah memberikan Kebenaran Merancang Terhad bagi lokasi baharu di Jalan SP5/2, Bandar Saujana Putra.
“Kami dimaklumkan secara lisan oleh pihak sekolah berkenaan bahawa Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) sudah memberi kelulusan Kebenaran Merancang Terhad untuk lokasi di Jalan SP5/2 Bandar Saujana Putra.
"Perkara itu turut dimaklumkan kepada kami pada 10 November lalu ketika sesi Mesyuarat Khas Pendaftaran bagi peperiksaan Ujian Penilaian al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK)," katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Bagaimanapun katanya, sehingga kini, sekolah berkenaan belum mendapat kelulusan (di lokasi baharu) daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Jelasnya, proses kelulusan pendaftaran sekolah Islam tertakluk kepada tiga agensi utama iaitu pihak berkuasa tempatan (PBT), JBPM dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).
“Sekiranya semua kelulusan dan sokongan agensi berkaitan diperolehi, pendaftaran sekolah boleh diproses dalam tempoh 14 hari waktu bekerja,” jelas wakil JAIS itu.
Sebelum ini, SRI al-Afsari dilaporkan tidak memohon kelulusan untuk meneruskan operasi di tapak sedia ada, sekali gus mengundang perhatian pihak berkuasa negeri.
EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Dr Mohammad Fahmi Ngah sebelum ini berkata pihaknya dimaklumkan bahawa sekolah tersebut merancang berpindah ke lokasi baharu dan telah menerima kelulusan MPKL.
Isu SRI al-Afsari mendapat perhatian selepas 80 murid sekolah itu dilaporkan tidak dapat didaftarkan sebagai calon UPKK 2025 kerana premis berkenaan tidak berdaftar dengan Jais sebagai agensi pelaksana Sistem Pendidikan Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA).
Namun selepas perbincangan diadakan, Jais bersetuju memberi kebenaran khas kepada kesemua 80 murid terbabit untuk menduduki UPKK pada tahun ini dengan beberapa penyelarasan tertentu.




