ad

Belanjawan Selangor 2026: Wakil rakyat Seri Serdang gesa tambah baik bantuan masuk universiti

7 Nov 2025, 12:00 AM
Belanjawan Selangor 2026: Wakil rakyat Seri Serdang gesa tambah baik bantuan masuk universiti

SHAH ALAM, 5 NOV: Wakil rakyat Seri Serdang, Abbas Salimi Azmi mencadangkan supaya kadar Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT) Selangor ditingkat bagi meringankan beban kos sara hidup dan persiapan awal pelajar.

Beliau berkata, bantuan sedia ada berjumlah RM1,000 wajar dinaikkan kepada RM1,500 selain menambah pemberian komputer riba kepada penerima.

“Pelajar ini baru menjejakkan kaki ke universiti dan memerlukan perbelanjaan tinggi. Saya harap HPIPT dapat dikekalkan atau ditambah baik termasuk pemberian komputer riba,” katanya kepada Media Selangor.

Dalam masa sama, beliau turut berharap Kerajaan Negeri menyalurkan dana khusus bagi kerja baik pulih dan naik taraf infrastruktur Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

Abbas Salimi turut mencadangkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) diperluas serta dijadikan kenderaan rasmi bagi menyokong usaha ke arah pembangunan mampan dan pemeliharaan alam sekitar.

Belanjawan Selangor 2026 dijadual dibentangkan pada 14 November ini di Dewan Negeri Selangor.