SHAH ALAM, 24 NOV: Program Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT) Selangor menerima sebanyak 7,000 permohonan tahun ini, sekali gus mendorong Kerajaan Negeri menambah peruntukannya kepada RM5 juta dalam Belanjawan 2026.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan tunai sebanyak RM1,000 itu amat penting bagi membantu pelajar menampung kos tiga bulan pertama di kampus, termasuk penginapan, keperluan asas dan perbelanjaan awal.
“Daripada 7,000 permohonan, hanya 3,000 dapat dibantu tahun ini. Dengan tambahan peruntukan, kita boleh naikkan jumlah penerima kepada 5,000 orang pada tahun depan.”
"Nilai peruntukan RM5 juta bukan sesuatu yang baharu kerana jumlah sama pernah disediakan antara 2018 hingga 2019," katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan Selangor 2026 peringkat pembangunan di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.
Bagaimanapun katanya, peruntukan itu disusun semula bagi memberi ruang kepada program lain di bawah Kerajaan Negeri, termasuk Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) yang kini merangkumi 150,000 pelajar.

“Di bawah PTRS, kita juga menyediakan makanan tengah hari dan menambah bantuan untuk pelajar yang belum menguasai kemahiran 3M (membaca, mengira, menulis). Jadi inilah dinamika pentadbiran negeri dalam merangka belanjawan,” katanya.
Menjawab pertanyaan mengenai kelewatan pemberian HPIPT, Amirudin menjelaskan proses semakan perlu dibuat dengan teliti bagi memastikan pelajar benar-benar mendaftar ke universiti.
“Kalau diberi berdasarkan surat tawaran, ada risiko pelajar tidak mendaftar. Audit tidak membenarkan kita bayar sebelum mereka masuk universiti,” jelasnya.
Sebelum ini, ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026, Amirudin mengumumkan peningkatan peruntukan HPIPT kepada RM5 juta, berbanding RM3 juta sejak skim itu diperkenalkan pada 2023.
Menerusi inisiatif itu, RM1,000 diberikan kepada anak Selangor yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang diiktiraf.
Menurutnya, bantuan tersebut layak untuk pelajar di peringkat Sijil Kemahiran Tahap 4, diploma dan ijazah sarjana muda.




