ad

Isu pendaftaran selesai, 80 murid Sekolah Islam al-Afsari dibenar duduki UPKK

5 Nov 2025, 11:09 PM
Isu pendaftaran selesai, 80 murid Sekolah Islam al-Afsari dibenar duduki UPKK

SHAH ALAM, 6 NOV: Isu membabitkan 80 murid Sekolah Rendah Islam al-Afsari, Saujana Putra yang sebelum ini gagal didaftarkan bagi menduduki Ujian Penilaian al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) Tahun 2025 selesai sepenuhnya apabila kesemua calon kini dibenarkan menduduki peperiksaan seperti biasa.

Penyelesaian itu dicapai hasil kerjasama erat antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) susulan arahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Dr Mohd Na’im Mokhtar serta EXCO Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor Dr Mohammad Fahmi Ngah.

Dalam kenyataan bersama, kedua-dua pihak memaklumkan keputusan itu dibuat selepas beberapa sesi semakan dan perbincangan diadakan bagi memastikan penyelesaian menyeluruh tanpa menjejaskan hak pelajar.

“Jais bersetuju memberikan kebenaran khas kepada semua 80 murid terbabit untuk menduduki UPKK Tahun 2025.

“Kesemua calon akan didaftarkan oleh Jais melalui sistem rasmi dan menduduki peperiksaan di pusat berdaftar (sekolah tumpang). Peperiksaan lisan bagi tiga mata pelajaran yang telah selesai pula akan dijadualkan semula selepas ujian bertulis,” menurut kenyataan itu.

Jakim dan Jais turut memberi jaminan akan memantau pelaksanaan peperiksaan agar berjalan lancar mengikut tatacara operasi standard.

Menurut kenyataan sama, pihak sekolah berkenaan turut memberikan komitmen untuk melengkapkan proses pendaftaran rasmi mengikut peruntukan Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam Negeri Selangor 1988, dengan bimbingan Jais.

“Kerajaan menghargai kesabaran dan kerjasama ibu bapa serta pihak sekolah sepanjang proses ini berlangsung,” kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, kerajaan menegaskan mana-mana institusi pendidikan Islam yang beroperasi tanpa pendaftaran sah dengan pihak berkuasa agama negeri akan dikenakan tindakan tegas.

“Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap aspek pematuhan peraturan dan keselamatan murid kerana ia melibatkan kredibiliti sistem pendidikan Islam serta integriti umat Islam.

“Semua pihak diharap menjadikan pengalaman ini sebagai pengajaran untuk memperkukuh pematuhan terhadap garis panduan pendaftaran institusi pendidikan Islam pada masa hadapan,” menurut kenyataan itu lagi.

Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor turut menegaskan komitmen berterusan untuk memperkukuh ekosistem pendidikan Islam negara melalui pendekatan ‘Pendidikan Islam Madani’, berteraskan prinsip ilmu, adab dan tadbir urus berintegriti demi manfaat generasi masa depan.

Terdahulu, Jakim mengesahkan 80 murid Sekolah Rendah Islam al-Afsari tidak didaftarkan untuk menduduki UPKK selepas sekolah berkenaan didapati beroperasi tanpa kelulusan dan pendaftaran rasmi daripada Jais serta pihak berkuasa tempatan.