SHAH ALAM, 5 NOV: Buat julung kali, hampir 90 peratus karya pelukis tersohor, Amron Omar yang belum pernah dipamerkan kini boleh dilihat di Pameran dan Bazar Seni Amal Harapan 2025 di Galeri Shah Alam.
Pameran menampilkan koleksi eksklusif milik Pakha Sulaiman yang dibuka kepada umum bermula semalam hingga 16 November ini, menghimpunkan karya figuratif ikonik itu termasuk siri Pertarungan yang menjadi tanda tangannya sejak era 1970-an.
“Koleksi Amron saya memang agak banyak, sebelum ini pun pernah saya sumbangkan untuk siri Pertarungan yang sinonim dengan beliau.
“Kali ini, saya beri pilihan kepada Galeri Shah Alam sama ada mahu pamerkan koleksi landskap atau Amron, dan mereka memilih Amron kerana ini sisi lain beliau,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Menurut Pakha, beliau bersama isteri dan rakan-rakannya di bawah Nadi Seni Resources menganjurkan pameran amal itu dengan menggabungkan bazar seni dan karya Amron Omar sebagai tarikan utama.

Amron Omar terkenal dengan lukisan figuratif lelaki Melayu dalam pose silat menggambarkan kekuatan tenaga dan emosi, menjadikan siri Pertarungan sebagai karya ikoniknya sejak tahun 1970-an.
Pameran dan Bazar Seni Amal Harapan 2025 dibuka dari jam 10 pagi hingga 6 petang, turut menampilkan Pameran Amal Derana yang menghimpunkan karya artis tempatan bagi menyokong Tabung Harapan untuk membantu ibu tunggal dan wanita kurang berkemampuan.
Selain itu, Bazar Seni Amal Harapan pada 7 hingga 9 November dan 14 hingga 16 November menawarkan pelbagai hasil seni, kraf tempatan, aksesori, fesyen serta juadah makanan dan minuman termasuk manisan serta kopi.
Forum khas mengenai karya Amron Omar turut diadakan pada 9 November jam 2 petang, menampilkan panel Pakha Sulaiman, Hasmi Hashim serta Hasnul J Saidon, dengan Samsuddin Lappo selaku moderator.







