SHAH ALAM, 7 FEB: Pameran Terbuka Galeri Shah Alam (PTGSA) mengiktiraf karya seni visual terbaik menerusi penganjuran edisi ke-30 bersempena sambutan Jubli Mutiara di sini, hari ini.
Pengiktirafan itu disampaikan menerusi penganugerahan satu Anugerah Utama, empat Anugerah PTGSA dan tiga Anugerah Pilihan Juri, dengan jumlah hadiah keseluruhan bernilai RM30,000.
Anugerah Utama PTGSA dimenangi Noor Hidawati Mohamed Amin menerusi karya media campuran Revive: Teras Jiwa yang membolehkan beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000.
Karya berasaskan guni kopi, tekstil dan fabrik terpakai itu mengangkat tema kebangkitan, penyembuhan dan kelestarian, sekali gus menzahirkan kekuatan dalaman manusia melalui transformasi bahan buangan.
Bagi Anugerah PTGSA, pengiktirafan diberikan kepada empat pengkarya menerusi pendekatan dan naratif seni yang berbeza.
Antaranya karya lukisan Silaung Warisan oleh Nur Farishya Roslan yang menggunakan medium grafit dan arang bagi mengangkat keindahan serta ketabahan warisan masyarakat Murut.
Karya itu membolehkan beliau menerima hadiah wang tunai RM2,800.

Turut menerima pengiktirafan ialah karya arca instalasi Satria Berjiwa Bara oleh Muhammad Faris Abdullah.
Karya tersebut mengetengahkan simbol kekuatan, ketabahan serta figura pelindung keluarga menerusi penggunaan bahan terbuang, dengan hadiah wang tunai RM10,000.
Karya catan Rhythm of the Nanyang oleh Chuah Phaik Hoon turut dipilih sebagai penerima Anugerah PTGSA, dengan hadiah wang tunai RM9,800.
Karya itu menampilkan kepelbagaian identiti serta warisan budaya masyarakat melalui simbol visual Peranakan.
Anugerah sama turut diberikan kepada karya konseptual The Great Malaysian Lesson Plan (Framed, Untouched) oleh Liew Ting Chuang (TC Liew).
Karya tersebut mengupas persoalan pendidikan seni, kepimpinan dan nilai kemanusiaan menerusi pendekatan seni kritikal berasaskan media campuran dan teknologi.
Beliau menerima hadiah wang tunai RM6,000.
Sementara itu, bagi kategori Anugerah Pilihan Juri, karya arca dinding #The Nexus hasil Zulkiflee Zainul Abidin menerima hadiah wang tunai RM8,000.

Karya tersebut meneroka simbol tanda pagar (#) sebagai lambang kuasa kolektif dan perpaduan masyarakat.
Turut menerima Anugerah Pilihan Juri ialah karya cetakan kayu Conversations with the Monkey (Dialog Bersama Si Monyet) oleh Aniq Aisar Luqman Ghazali.
Karya yang mengajak khalayak merenung nilai masa dan kelalaian manusia itu membolehkan beliau menerima hadiah wang tunai RM850.
Seorang lagi penerima Anugerah Pilihan Juri ialah Aliya Maisarah Abdul Aziz menerusi karya video Every Feeling All at Once.
Karya tersebut mengekspresikan krisis identiti dan emosi melalui visual berunsur surreal, dan beliau menerima hadiah wang tunai RM500.
Kesemua karya pemenang ini dipamerkan sempena PTGSA Edisi Jubli Mutiara yang berlangsung dari 21 Januari hingga 22 Mei ini di Galeri Shah Alam.



