ad

Sejak 1991, Galeri Shah Alam lahirkan ramai bakat seni

5 Nov 2025, 1:11 AM
Sejak 1991, Galeri Shah Alam lahirkan ramai bakat seni
Sejak 1991, Galeri Shah Alam lahirkan ramai bakat seni
Sejak 1991, Galeri Shah Alam lahirkan ramai bakat seni
Sejak 1991, Galeri Shah Alam lahirkan ramai bakat seni

SHAH ALAM, 5 NOV: Galeri Shah Alam terus memainkan peranan penting dalam memupuk serta mengetengahkan bakat seni visual sejak penubuhannya pada 1991.

Pelukis dan seniman figuratif, Amron Omar berkata galeri tersebut menjadi antara platform utama yang membantu perkembangan karier seninya sejak awal hingga kini.

“Selepas menamatkan pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM), saya merasakan Galeri Shah Alam sangat banyak membantu. Ruang dan peluang lebih terbuka di sini.

“Ketika itu suasana seni sangat meriah. Artis mendapat tempat, karya dihargai, dan ramai kolektor hadir menyokong. Harap selepas ini wujud kesinambungan dan lebih banyak peluang diberikan kepada artis muda,” katanya.

Pelukis dan seniman figuratif Amron Omar

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Pameran dan Bazar Seni Amal Harapan 2025 di Galeri Shah Alam, semalam. Program tersebut berlangsung sehingga 16 November.

Mengulas harapan terhadap Belanjawan Selangor 2026, Amron mencadangkan Kerajaan Negeri menyelaras semua jabatan dan agensi berkaitan seni dengan lebih teratur, mencontohi model Korea Selatan yang menggerakkan kesenian dan ekonomi kreatif secara bersepadu.

“Kita mahu lihat perkara sama berlaku di Malaysia, khususnya Selangor. Seni bukan hanya untuk pameran, tetapi boleh menjadi sumber ekonomi dan tarikan pelancongan.

“Gabungan pelancongan dan seni, dengan tujuan jelas ke arah penjualan serta pendedahan karya tempatan, mampu menjadikan Selangor pusat seni yang berdaya saing,” katanya.

Sebelum ini, EXCO Keusahawanan Najwan Halimi berkata sektor ekonomi kreatif negeri berpotensi menyumbang sehingga RM20 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Pada masa ini, Selangor hanya menyumbang kira-kira RM2 bilion, berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Jelas beliau, Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Selangor 2025–2035 akan dilancarkan pada bulan ini, dengan fokus kepada sektor multimedia, warisan dan seni budaya.

Tiga daerah turut dikenal pasti sebagai pusat pembangunan ekonomi kreatif iaitu Kuala Selangor (gastronomi), Petaling (hab kreatif belia) dan Cyberjaya (animasi).