ad

Pameran Seni Amal Harapan gerak tabung bantu ibu tunggal, wanita susah

4 Nov 2025, 12:14 PM
Pameran Seni Amal Harapan gerak tabung bantu ibu tunggal, wanita susah
Pameran Seni Amal Harapan gerak tabung bantu ibu tunggal, wanita susah
Pameran Seni Amal Harapan gerak tabung bantu ibu tunggal, wanita susah
Pameran Seni Amal Harapan gerak tabung bantu ibu tunggal, wanita susah

SHAH ALAM, 4 NOV: Pameran dan Bazar Seni Amal Harapan 2025 di Galeri Shah Alam menjadi wadah kebajikan untuk membantu ibu tunggal serta wanita kurang berkemampuan melalui gabungan seni, komuniti dan amal.

Pengarah Komunikasi dan Tadbir Nadi Seni Resources, Shahreena Shahridan berkata acara yang berlangsung sejak semalam hingga 16 November itu menghimpunkan pelbagai aktiviti termasuk pameran seni, jualan bazar, bengkel serta aktiviti komuniti.

“Kita turut menampilkan Pameran Amal Derana iaitu himpunan karya artis tempatan dan pengumpul seni dengan matlamat utama untuk menggerakkan Tabung Harapan bagi menyokong ibu tunggal dan wanita kurang berkemampuan.

“Konsep acara ini adalah menggabungkan seni, komuniti dan amal dalam satu platform berjiwa kemanusiaan untuk memberi harapan kepada mereka yang memerlukan” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di sini, hari ini.

Pengarah Komunikasi dan Tadbir Nadi Seni Resources, Shahreena Shahridan berucap dalam program Pameran & Bazar Seni Amal Harapan di Galeri Shah Alam pada 4 November 2025. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata, pameran dibuka kepada orang ramai bermula jam 10 pagi hingga 6 petang, menawarkan pelbagai tarikan termasuk Pameran Rupa yang menampilkan karya pelukis terkenal Amron Omar daripada koleksi Pakha Sulaiman.

Selain itu, Bazar Seni Amal Harapan yang berlangsung pada 7 hingga 9 November dan 14 hingga 16 November turut menawarkan hasil seni dan kraf tempatan, aksesori, fesyen serta pelbagai juadah makanan dan minuman termasuk manisan serta kopi.

Forum khas mengenai karya Amron Omar turut diadakan pada 9 November jam 2 petang, menampilkan panel Pakha Sulaiman, Hasmi Hashim serta Hasnul J Saidon, dengan Samsuddin Lappo sebagai moderator.

Pengunjung juga berpeluang menyertai aktiviti interaktif seperti bengkel seni dan kraf, persembahan pentas, sudut kanak-kanak, pertandingan serta cabutan bertuah.

Program berjiwa kemanusiaan itu mendapat kerjasama Balai Seni Lukis Negara, Sagemaker Asia, Sedar Space, dan Percha Artspace.