ad

Selangor pertimbang anjur SIBS di luar negara, perkukuh hab pelaburan serantau

4 Nov 2025, 9:01 AM
Selangor pertimbang anjur SIBS di luar negara, perkukuh hab pelaburan serantau
Selangor pertimbang anjur SIBS di luar negara, perkukuh hab pelaburan serantau
Selangor pertimbang anjur SIBS di luar negara, perkukuh hab pelaburan serantau
Selangor pertimbang anjur SIBS di luar negara, perkukuh hab pelaburan serantau

KUALA LUMPUR, 4 Nov: Kerajaan Selangor mempertimbang penganjuran edisi antarabangsa Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di luar negara bagi memperkukuh kedudukan negeri itu sebagai hab pelaburan utama di Asia Tenggara.

Dato’ Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata selepas berjaya menganjurkan program itu selama sembilan tahun berturut-turut, Kerajaan Negeri kini meneliti pendekatan baharu untuk memperluas jangkauan dan impaknya di peringkat antarabangsa.

“Kita mungkin mempertimbangkan untuk mengadakan SIBS di lokasi lain, termasuk di luar negara. Idea ini bertujuan memperluas jangkauan kerana pasaran sasaran bukan hanya di Malaysia atau negara jiran, tetapi meliputi rantau Asean yang mempunyai lebih 600 juta penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penghargaan Media SIBS anjuran Invest Selangor Berhad di sini, hari ini.

Menurut Amirudin, cadangan itu sejajar dengan matlamat SIBS untuk menjadikan Selangor sebagai pintu masuk utama ke Asean dan memperkukuh jaringan pelaburan serantau.

“Kita sedang meneliti beberapa format penganjuran bagi memastikan objektif utama mempromosikan perniagaan dan menjadikan Selangor destinasi pelaburan terbaik di Asia Tenggara dapat dicapai,” katanya.

Selain itu, Selangor turut meneliti cadangan untuk menjemput delegasi khas dari negara anggota Asean bagi memperkenalkan potensi pelaburan masing-masing pada edisi akan datang.

Tambah beliau, semua cadangan itu masih di peringkat perbincangan dan tertakluk kepada kos serta kemampuan negeri.

Amirudin mengulas kenyataannya sebelum itu mengenai rancangan untuk mengembangkan SIBS ke peringkat antarabangsa dan meningkatkan kualiti penganjuran pada tahun-tahun akan datang.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berucap ketika jamuan makan tengah hari Invest Selangor Berhad bersama media di Restoran Rebung Chef Ismail, Kuala Lumpur pada 4 November 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Menurutnya, Kerajaan Negeri turut merancang untuk memberi tumpuan kepada subsektor berimpak tinggi seperti elektrikal dan elektronik (E&E) serta sains hayat (life sciences) yang menunjukkan prestasi eksport kukuh di Selangor.

“Sebagai contoh, sektor E&E antara eksport terbesar negeri tetapi belum diberi penonjolan sewajarnya. Sains hayat juga menunjukkan potensi besar dan perlu diterokai lebih mendalam,” ujarnya.

Kerajaan Negeri akan terus menggunakan SIBS sebagai platform untuk memperkenalkan industri baharu, menggalakkan inovasi dan memperkukuh jaringan masa hadapan, dengan edisi 2026 berkemungkinan memberi tumpuan kepada ekonomi lestari.

SIBS 2025 yang berlangsung dari 8 hingga 11 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) mencatat nilai potensi urus niaga sebanyak RM8.17 bilion, melibatkan 740 reruai pameran dan 581 peserta pameran dari seluruh Asia Pasifik.

Acara selama empat hari itu turut menarik 56,938 pengunjung dari 89 negara, dengan 179 penceramah dan 5,810 peserta persidangan.

SIBS menampilkan enam komponen utama iaitu Selangor Investment and Industrial Park (SPARK), Selangor Asean Business Conference (SABC), Selangor International F&B Expo (SIE F&B), Selangor Smart City and Digital Economy Convention (SDEC), Selangor Aerospace Summit (SAS) dan Selangor International Care Summit (SICS).