AMPANG JAYA, 4 NOV: Penduduk Apartment Mutiara Court, Taman Bukit Permai di sini masih trauma dan bimbang keselamatan selepas kejadian runtuhan batu yang mengakibatkan beberapa kenderaan rosak, semalam.
Penduduk, Wee, 60-an, berkata sejak insiden itu, mereka tidak lagi berani meletakkan kenderaan berhampiran Blok 3 kerana khuatir kejadian sama berulang.
“Sekarang kami tiada pilihan selain parkir di luar pagar pangapuri. Namun, kawasan luar bukan tempat khas dan kami risau disaman pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui hari ini, lapor Harian Metro.
Menurutnya, kejadian kali ini antara yang paling serius sejak beliau menetap hampir 10 tahun di kawasan berkenaan apabila batu besar bergolek ke kawasan parkir sehingga merosakkan beberapa kenderaan.
Wee berkata, beliau bernasib baik kerana keretanya terselamat selepas keluar tidak lama sebelum runtuhan berlaku.
“MPAJ sudah membersihkan kawasan terjejas dan memasang penghadang keselamatan, tapi kami harap kerja penstabilan cerun dapat dilakukan segera supaya penduduk tak terus hidup dalam ketakutan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, polis menerima maklumat kejadian pada jam 10.45 pagi semalam.
“Runtuhan pertama berlaku jam 8.15 pagi diikuti runtuhan kedua jam 8.50 pagi, menyebabkan enam kenderaan rosak,” katanya.
Beliau berkata, lima kenderaan berjaya dikeluarkan, manakala sebuah Perodua Kancil mengalami kerosakan menyeluruh (total lost).




