ad

FAM terkejut keputusan FIFA, pertimbang bawa kes ke CAS

3 Nov 2025, 4:21 PM
FAM terkejut keputusan FIFA, pertimbang bawa kes ke CAS
FAM terkejut keputusan FIFA, pertimbang bawa kes ke CAS
FAM terkejut keputusan FIFA, pertimbang bawa kes ke CAS
FAM terkejut keputusan FIFA, pertimbang bawa kes ke CAS

SHAH ALAM, 4 NOV: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terkejut dengan keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang menolak rayuan berhubung kes tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang dikaitkan dengan pemalsuan dokumen.

Pemangku Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata keputusan itu turut mengejutkan barisan peguam dan pengurusan FAM memandangkan badan induk bola sepak negara itu telah memberi kerjasama penuh sepanjang proses siasatan dan rayuan.

“Ini kali pertama FAM berdepan situasi sebegini dan keputusan tersebut benar-benar di luar jangkaan.

“Peguam serta pengurusan kami turut terkejut dengan keputusan itu. Namun, FAM akan terus teguh memperjuangkan hak para pemain dan kepentingan bola sepak Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, FAM akan menulis secara rasmi kepada FIFA bagi mendapatkan alasan bertulis berhubung keputusan berkenaan sebelum mempertimbangkan langkah seterusnya, termasuk kemungkinan membawa kes tersebut ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA mengekalkan hukuman yang dijatuhkan Jawatankuasa Tatatertib badan induk itu terhadap FAM dan tujuh pemain terbabit atas kesalahan melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Susulan itu, FAM diperintah membayar denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) manakala tujuh pemain iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Jon Irazábal dan Hector Hevel masing-masing didenda CHF2,000 (sekitar RM11,000) serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak.

FIFA turut memaklumkan FAM dan pemain berkenaan mempunyai tempoh 10 hari untuk memohon keputusan bersebab, dan 21 hari berikutnya bagi mengemukakan rayuan ke CAS sekiranya berhasrat mencabar keputusan tersebut.