Ultras Malaya tuntut akauntabiliti, bukan rampas kuasa bola sepak

4 Mei 2026, 5:59 AM
Ultras Malaya tuntut akauntabiliti, bukan rampas kuasa bola sepak

KUALA LUMPUR: Ultras Malaya menegaskan gerakan #KembalikanBolaSepakKepadaRakyat (KBSKR) bukan bertujuan merampas kuasa dalam pengurusan bola sepak negara, sebaliknya menuntut akauntabiliti serta pembaharuan menyeluruh dalam sistem sedia ada.

Kumpulan itu menjelaskan gerakan tersebut tidak melibatkan usaha mengambil alih kepimpinan atau merebut jawatan dalam institusi bola sepak.

"Ia bukan tuntutan untuk merebut jawatan. Ia bukan gerakan untuk menggantikan satu kelompok dengan kelompok yang lain. Kami bukan datang untuk ambil kerusi kalian, yang kami tuntut bukan kerusi, yang kami tuntut ialah akauntabiliti.

"Bola sepak Malaysia bukan milik mutlak mana-mana individu, institusi, kelompok politik, pemilik kelab, pegawai atau orang berkepentingan. Kalian yang menguruskan bola sepak ini ialah rakyat. Bezanya, kalian memegang fungsi, amanah dan kuasa.

"Maka apabila kuasa itu digunakan, ia mesti datang bersama tanggungjawab. Siapa pun kalian, ahli politik, menteri, penjawat awam, kerabat, tauke, pemain, pegawai atau penyokong, kalian tetap berada dalam ruang yang sama, ruang bola sepak rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tegas mereka, bola sepak tidak wajar dijadikan alat kepentingan peribadi, selain mengingatkan agar institusi itu tidak disalah guna untuk melindungi kesilapan, mengekalkan pengaruh atau memenuhi kepentingan kuasa tertentu.

Menurut mereka, pelbagai isu lama dalam bola sepak negara masih berlarutan sehingga kini termasuk kelemahan tadbir urus, masalah kewangan kelab, ketidakstabilan liga serta tahap profesionalisme yang rendah.

“Masalah seperti gaji tertunggak, kelab bermasalah, jadual berubah dan keputusan besar tidak dijelaskan terus berulang. Penyokong diminta sokong, tetapi jarang diberi jawapan," katanya.

Kumpulan itu turut mengaitkan isu pemalsuan dokumen melibatkan pemain sebagai tanda masalah yang lebih serius dalam sistem pengurusan bola sepak negara.

"Apabila dokumen pemain boleh menjadi isu antarabangsa, apabila nama negara tercalar, apabila institusi bola sepak dipersoal, maka masalah ini sudah sampai ke tahap krisis akauntabiliti.

"Itu sebabnya KBSKR wujud. Bukan untuk merampas kuasa, tetapi untuk memaksa pembetulan. Kalau mahu bola sepak Malaysia bergerak ke depan, pembetulan mesti bermula dengan keberanian untuk mengakui masalah.

"Tidak boleh lagi semua benda disorok bawah karpet. Tidak boleh lagi rakyat bola sepak hanya diminta percaya tanpa penjelasan," katanya.

Sehubungan itu, Ultras Malaya mengemukakan beberapa tuntutan termasuk menyemak semula status kerakyatan tujuh pemain jika diperoleh melalui proses tidak sah.

Selain itu, mereka turut menggesa agar pengurusan pasukan kebangsaan dikembalikan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), di samping melaksanakan reformasi menyeluruh dalam ekosistem bola sepak negara.

“Pembetulan mesti bermula dengan keberanian mengakui masalah dan melaksanakan reformasi secara menyeluruh dalam tadbir urus bola sepak negara,” katanya.

Menurut mereka, usaha tersebut penting bagi memastikan bola sepak Malaysia dapat dipulihkan dan kembali mendapat kepercayaan rakyat.

Terdahulu, kumpulan itu melaksanakan boikot fasa pertama terhadap semua perlawanan melibatkan pasukan kebangsaan, berkuat kuasa serta-merta.

Tegasnya, keputusan tersebut sebagai tindakan susulan terhadap tiga tuntutan yang dikemukakan kepada umum pada 13 April lalu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.