SHAH ALAM, 22 DIS: Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang digantung, Datuk Noor Azman Rahman berada dalam 'pemerhatian' Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), susulan isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain berdarah warisan Malaysia.
Malah bukan setakat FIFA semata-mata tetapi Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi memaklumkan Noor Azman akan turut 'dihadapkan' kepada Jawatankuasa Disiplin FAM sebelum nasibnya bakal diputuskan nanti, lapor Berita Harian.
"Kita akan merujuk Noor Azman kepada Jawatankuasa Disiplin FAM susulan cadangan daripada IIC dan kita juga menerima emel daripada FIFA yang memaklumkan mereka akan menjalankan siasatan ke atas beliau.
"Alasan FIFA adalah mereka ingin mengetahui peranan Noor Azman, proses yang dilakukan dan sejauh mana pembabitannya untuk dokumen yang dihantar.
"FIFA lebih hendak mengetahui proses dekat Noor Azman dan tanggungjawab yang dilakukannya dengan lebih mendalam," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas EXCO di Wisma FAM, Petaling Jaya, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Mohd Yusoff menjelaskan mereka perlu menunggu keputusan Jawatankuasa Disiplin dan kemudiannya akan dirujuk kepada EXCO bagi menentukan status Noor Azman selepas ini.
"Jika didapati bersalah, kita akan bawa kepada EXCO untuk menentukan apa bentuk hukuman yang akan ditentukan. Ia bergantung kepada sejauh mana kesalahan yang dilakukannya itu.
"Kalau kesalahan setakat itu, ada hukumannya dan kalau kesalahan itu tinggi, ada hukumannya tetapi di akhirnya, EXCO yang akan buat keputusan", katanya.
Oktober lalu, Noor Azman digantung tugas serta-merta susulan siasatan membabitkan FIFA berhubung status tujuh pemain kacukan Harimau Malaya.
Tindakan tegas itu disahkan sendiri Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundram yang memaklumkan penggantungan berkuat kuasa 17 Oktober pada sidang media khas yang berlangsung di Wisma FAM.


