SHAH ALAM, 3 NOV: Rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta tujuh pemain warisan Harimau Malaya berhubung kes pemalsuan dan pemalsuan dokumen ditolak oleh Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Dalam kenyataan rasmi, badan induk bola sepak dunia itu memaklumkan, keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA sebelum ini dikekalkan sepenuhnya selepas meneliti hujahan bertulis dan mengadakan sesi pendengaran berhubung kes tersebut.
“Jawatankuasa Rayuan memutuskan untuk menolak semua rayuan yang dikemukakan dan mengesahkan sepenuhnya hukuman yang telah dikenakan terhadap FAM dan tujuh pemain terbabit atas pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen,” kata kenyataan itu.
Susulan keputusan tersebut, FAM diarahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) kepada FIFA.
Tujuh pemain terlibat iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano masing-masing dikenakan denda CHF2,000 (sekitar RM11,000) serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak.
FIFA memaklumkan FAM dan pemain berkenaan telah dimaklumkan mengenai keputusan itu, dan diberikan tempoh 10 hari untuk memohon keputusan bersebab (motivated decision) sebelum diberi 21 hari lagi untuk mengemukakan rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sekiranya berhasrat berbuat demikian.
Keputusan itu sekali gus mengekalkan hukuman asal yang telah diputuskan oleh FIFA sebelum ini terhadap FAM dan pemain warisan berkenaan.







