SHAH ALAM, 22 DIS. Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan membuat laporan polis berhubung isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan seperti yang disyorkan oleh Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC).
Pemangku Presidennya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata IIC menyarankan laporan polis dibuat bagi mengenal pasti bagaimana pemalsuan itu boleh berlaku serta siapa yang bertanggungjawab, lapor Berita Harian.
"Kita akan buat laporan polis seperti saranan IIC yang menekankan supaya polis diberi ruang untuk menyiasat kes ini.
"Tentu sekali dalam masa terdekat untuk kita buat laporan polis dan kita akan membuat laporan bahawa berlaku pemalsuan dokumen yang dihantar kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA)," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas EXCO di Wisma FAM, Petaling Jaya, hari ini.
Terdahulu, IIC dalam laporan penuh siasatan mereka mengemukakan tiga cadangan kepada FAM susulan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Antara cadangan yang diberikan IIC kepada FAM termasuk badan induk itu perlu segera membuat laporan polis untuk membolehkan pihak berkuasa melakukan siasatan penuh dan sewajarnya bagi membuktikan asal usul dokumen yang disyaki palsu serta mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab.
Jawatankuasa itu menjelaskan, kes berkenaan membabitkan dakwaan pemalsuan dokumen rasmi yang mana ia adalah satu kesalahan jenayah di bawah undang-undang Malaysia.
Menerusi laporan hasil siasatan mereka, IIC juga mencadangkan supaya Jawatankuasa Tatatertib FAM memulakan prosiding tatatertib dalaman terhadap Setiausaha Agung badan induk itu mengikut keperluan proses sewajarnya.
Selain itu, cadangan ketiga yang kemukakan IIC adalah dari aspek tadbir urus yang mana FAM dicadangkan membuat pengawasan dan reformasi struktur serta melakukan langkah pencegahan dan pemulihan kredibiliti.


