ad

Kilang burger haram di Klang diarah tutup

3 Nov 2025, 3:01 AM
Kilang burger haram di Klang diarah tutup

SHAH ALAM, 3 Nov: Sebuah kilang pemprosesan daging burger di Kampung Jawa, Klang diarah tutup serta-merta selepas didapati beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah.

Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Norfiza Mahfiz berkata hasil pemeriksaan mendapati pemilik kilang berkenaan menggaji beberapa warga Indonesia dan Bangladesh yang tidak dibenarkan bekerja dalam sektor makanan.

“Premis itu diarahkan menghentikan operasi serta-merta di bawah Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MBDK 2007 serta dikenakan kompaun RM1,000,” katanya seperti dilaporkan The Star.

Menurutnya, operasi bersepadu itu melibatkan pegawai daripada Jabatan Pelesenan, Kesihatan dan Penguatkuasaan MBDK selepas pihak berkuasa menerima aduan bunyi bising daripada penduduk sekitar.

“Pasukan kami turut menasihatkan pemilik supaya memohon lesen perniagaan dan berpindah ke kawasan perindustrian sekiranya mahu meneruskan operasi,” katanya lagi.

Dalam operasi berasingan, MBDK turut menutup sebuah bengkel baik pulih forklift haram yang beroperasi di kawasan perumahan Jalan Belimbing, Pandamaran.

Bengkel berkenaan turut dikenakan kompaun RM1,000 selepas dikesan menjalankan kerja pembaikan dan penyimpanan forklift tanpa lesen perniagaan yang sah.