ad

Pekebun cedera ditikam kenalan yang berdendam

2 Nov 2025, 1:15 PM
Pekebun cedera ditikam kenalan yang berdendam

SHAH ALAM, 2 NOV: Seorang pekebun cedera di perut akibat ditikam kenalannya di kawasan perumahan Kampung Sri Damai, Jalan Gambang, Kuantan di sini, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, kejadian berlaku kira-kira 7 malam ketika lelaki berusia 38 tahun itu berjumpa dengan suspek lelaki di hadapan rumahnya.

Beliau berkata, suspek berusia 25 tahun telah meminta mangsa mengikutnya dengan alasan terdapat rakan mereka mahu berjumpa, lapor Harian Metro

"Mangsa enggan mengikut suspek sebelum suspek dengan tiba-tiba mengeluarkan pisau sepanjang 12.7 sentimeter dari belakang seluar dan menikam perut mangsa.

"Akibat tikaman itu mangsa mengalami koyakan di bahagian tengah perut dan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini," katanya.

Ashari berkata, susulan itu, suspek yang tidak bekerja telah ditahan dan siasatan mempercayai punca kejadian disebabkan suspek berdendam terhadap mangsa yang dikatakan ada membuat laporan polis terhadapnya berkaitan pengambilan bahan terlarang.

Suspek kini direman hingga Selasa ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.