BANTING, 2 NOV: Jamuan Rumah Terbuka Deepavali bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Banting berlangsung meriah di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Manggis, hari ini.
Majlis tersebut dianjurkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Banting merangkap EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu, menerima kehadiran masyarakat pelbagai kaum yang hadir memeriahkan sambutan perayaan itu.
Acara menjadi lebih menarik dengan penganjuran cabutan bertuah yang menawarkan hadiah seperti televisyen, mesin basuh, barang kemas, basikal dan pelbagai barangan lain.
Dalam majlis sama, pelajar yang cemerlang dalam kokurikulum turut menerima wang tunai sekitar RM200 seorang, selaras dengan janji pilihan raya Papparaidu untuk menghargai kecemerlangan golongan muda.
Beliau berkata inisiatif itu diharap dapat meningkatkan motivasi pelajar agar terus aktif dan berjaya dalam akademik serta kokurikulum.
Majlis turut dihadiri ahli Jawatankuasa Pusat Khidmat Masyarakat DUN Banting, pegawai daerah, pengerusi i-Seed dan pemimpin masyarakat India setempat.






