SHAH ALAM, 10 OKT: Kerajaan Selangor bakal menganjurkan sambutan Rumah Terbuka Deepavali peringkat negeri yang dijadual berlangsung di Dataran Klang atau Padang Chetty, Klang pada 6 November depan.
EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berkata sambutan kali ini turut menampilkan kelainan menerusi pengiktirafan khas kepada kuil berdaftar atas sumbangan mereka dalam menjaga kebajikan serta memelihara tradisi dan warisan masyarakat Hindu.
“Seperti biasa, kita akan sambut di Padang Chetty Klang pada 6 November. Kita meraikan kepelbagaian di Selangor dengan pelbagai juadah, tarian, nyanyian dan sebagainya. Semua dijemput hadir.
“Saya ada rancangan untuk kita beri pengiktirafan kepada kuil yang berdaftar di Selangor. Kita ada masalah, di mana ada kuil yang tidak berdaftar. Kita akan jemput pengerusi kuil yang tidak mempunyai masalah dalam isu seperti tanah, dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) atau sebagainya,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Tawaran Bantuan Yuran Pengajian IPTA dan IPTS bagi Pelajar Komuniti India B40 di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Papparaidu berkata, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha bagi menangani isu kuil tidak berdaftar di Selangor yang sekian lama menjadi perhatian Kerajaan Negeri dan masyarakat.
Menurutnya, pendekatan itu diharap dapat membuka ruang kepada pihak pengurusan kuil untuk mendapatkan pengiktirafan sewajarnya, selain membantu memudahkan penyelesaian status pendaftaran kuil.
“Saya tidak nafikan, kebanyakan kuil itu sudah lama wujud. Tetapi kerajaan sekarang sudah berubah, dan kita perlu ikut Akta 171 dan Akta 172, dimana sesebuah bangunan itu perlu didaftar.
“PBT sedia bantu mereka. Kita akan bantu daftarkan. Kita hanya mahu kuil-kuil ini berdaftar, tetapi kuil yang menganggu pembangunan atau lalu lintas, kita akan alihkan. Kita akan bantu selesaikan,” katanya.
Untuk rekod, Akta 171 merujuk kepada Akta Kerajaan Tempatan 1976, manakala Akta 172 merujuk kepada Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.
Kedua-dua undang-undang tersebut merupakan tonggak utama yang mengawal selia kuasa PBT serta pembangunan fizikal dan guna tanah di Semenanjung Malaysia.








