ad

Ziarah Deepavali sambil tinjau kawasan, erat hubungan bersama masyarakat

21 Okt 2025, 9:09 AM
Ziarah Deepavali sambil tinjau kawasan, erat hubungan bersama masyarakat
Ziarah Deepavali sambil tinjau kawasan, erat hubungan bersama masyarakat

KUALA LANGAT, 21 OKT: Kemeriahan perayaan Deepavali masih terasa apabila EXCO Sumber Manusia meluangkan masa mengunjungi beberapa kediaman kenalannya di sekitar daerah di sini, sejak pagi tadi.

V Papparaidu berkata beliau mengambil kesempatan kunjung-mengunjung untuk menyemarakkan sambutan pesta cahaya sambil turut bertanya khabar penduduk serta melawat kawasan.

“Setiap tahun saya buat begini. Saya lihat di Kuala Langat ini unik sedikit. Saya juga mengunjungi rakan-rakan pada perayaan lain seperti Hari Raya, Tahun Baharu Cina dan Krismas.

“Sebelum Deepavali juga saya ada buat tinjauan lihat kawasan. Setakat ini saya lihat penduduk Banting gembira, saya dan pasukan sentiasa terbuka dan membantu,” kata wakil rakyat Banting ini.

Beliau ditemui ketika mengunjungi kediaman Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jenjarom di Telok Panglima Garang di sini, hari ini.

EXCO Sumber Manusia V Paparaidu

Dalam pada itu, Papparaidu turut menzahirkan rasa sedih susulan insiden letupan mercun yang mengakibatkan 22 orang awam cedera ketika ambang Deepavali, semalam.

Beliau menasihatkan masyarakat sentiasa mengambil langkah berwaspada ketika bermain mercun walaupun bahan letupan tersebut dibenarkan pihak berkuasa.

“Saya nasihati semua pihak, memandangkan mercun tidak diharamkan, saya nasihatkan semua pihak berjaga-jaga ketika bermain mercun. Saya berasa sedih. Saya harap pada masa akan datang kita lebih berhati-hati,” katanya.

Semalam, sebanyak 22 orang cedera termasuk seorang lelaki yang parah di dahi dalam insiden letupan akibat pembakaran mercun di Paya Besar, Kulim, Kedah.

Kejadian jam 12.45 tengah malam itu disedari anggota polis rondaan yang melihat kesesakan lalu lintas berikutan kehadiran orang ramai di tepi jalan Paya Besar.