AMPANG JAYA, 2 NOV: Ahli Dewan Negeri (ADN) Teratai, Yew Jia Haur berharap Belanjawan Selangor 2026 memberi tumpuan kepada usaha memperkasa kebajikan warga emas serta menaik taraf infrastruktur uzur, khususnya di kawasan yang diwakilinya.
Beliau berkata Malaysia kini beralih kepada fasa penduduk menua, justeru aspek kebajikan perlu diperkukuh melalui penambahbaikan dasar negeri sedia ada seperti Skim Mesra Usia Emas (SMUE).
“Ramai warga emas di kawasan saya masih belum dapat mendaftar untuk menerima manfaat SMUE kerana pendaftarannya belum dibuka semula.
“Saya berharap Kerajaan Negeri dapat meneruskan program kebajikan seperti SMUE dengan menambah kuota supaya lebih ramai warga emas menerima manfaat,” katanya.
Beliau ditemui selepas Majlis Perasmian Laporan Kajian Penilaian Sukarela Tempatan (VLR) Majlis Perbandaran Ampang Jaya di Lorong Seni Jalan Negara Kita, Taman Melawati, hari ini.
Mengulas isu infrastruktur, Jia Haur berkata DUN Teratai merupakan kawasan lama dengan banyak kemudahan yang memerlukan pembaikan.
Selain itu, beliau turut menekankan masalah lalu lintas serta jalan raya yang dibina mengikut reka bentuk lama sehingga tidak lagi menampung peningkatan populasi dan jumlah kenderaan.
“Banyak jalan di kawasan ini masih mengikut spesifikasi lebih 40 tahun lalu. Dengan pertambahan penduduk, banyak laluan perlu diperluas dan struktur asal perlu diubah suai.
“Sudah tiba masa untuk kita menaik taraf infrastruktur ini supaya penduduk dapat hidup dalam suasana lebih selamat dan selesa,” katanya.
Jia Haur turut menyatakan bahawa belanjawan negeri perlu selari dengan dasar Kerajaan Persekutuan memandangkan Selangor merupakan negeri paling maju serta pintu utama kemasukan pelabur ke Malaysia.
“Selangor memainkan peranan penting memastikan kemajuan negara. Belanjawan 2026 harus mencerminkan tanggungjawab itu,” ujarnya.
Belanjawan Selangor 2026 dijadual dibentangkan pada 14 November ini di Dewan Undangan Negeri Selangor.




