AMPANG JAYA, 9 JUN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Teratai menggesa Indah Water Konsortium (IWK) mempercepatkan kerja baik pulih jalan dan cerun di Jalan Saga 12, Taman Saga yang masih belum siap sepenuhnya meskipun tarikh siap asal ditetapkan pada hujung Mei lalu.
Yew Jia Haur berkata kelewatan projek susulan kejadian tanah runtuh pada 17 Januari itu menjejaskan kehidupan harian penduduk, selain menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, kejadian tersebut berpunca daripada kebocoran paip IWK yang menyebabkan runtuhan cerun dan kerosakan jalan sehingga menjejaskan akses keluar masuk penduduk.

“Sejak kejadian, perkembangan kerja baik pulih tidak memuaskan. Ia sepatutnya siap hujung Mei, tetapi masih tertangguh yang telah menjejaskan aktiviti kehidupan harian penduduk,” katanya pada sidang media selepas meninjau lokasi berkenaan.
Menurutnya, penduduk semakin kecewa apabila beberapa jaminan termasuk tarikh siap yang diberikan sebelum ini gagal dipenuhi.

“Janji telah diberi, termasuk tarikh siap, tetapi tidak ditunaikan. Mereka tidak berpuas hati kerana kerja masih belum siap dan laluan masih terganggu. Penduduk di kawasan bawah bimbang tahap keselamatan memandangkan tanah runtuh berpunca dari kawasan cerun.
“IWK perlu ambil kira kepentingan penduduk dan tetapkan satu tarikh jelas bila kerja boleh siap. Alasan seperti jentera rosak atau tiada stok tidak boleh diterima kerana ia telah menjejaskan kehidupan hampir 1,980 rumah di kawasan ini,” katanya.
Sementara itu, wakil Persatuan Penduduk Jalan Taman Saga, A. George berkata ketiadaan laluan alternatif menyebabkan kelewatan projek itu memberi kesan besar kepada rutin harian penduduk termasuk urusan menghantar dan mengambil anak di sekolah.

“Penduduk tiada jalan alternatif. Jalan di Taman Saga menjadi laluan utama keluar masuk. Kami mahu satu garis masa yang jelas atau sekurang-kurangnya perkembangan kerja dimaklumkan secara berkala,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Penyelia IWK Ampang Asrol Abd Shukor berkata kerja pembaikan kini telah mencapai kira-kira 70 peratus dengan baki kerja melibatkan kemasan serta tampalan jalan.
Menurutnya, kemajuan projek sedikit terjejas berikutan terdapat aliran air di kawasan cerun yang menyukarkan pelaksanaan kerja di tapak.

“Kelewatan bukan disengajakan kerana terdapat aliran air di cerun yang menyukarkan kerja. Mengikut anggaran kontraktor, kerja paling awal boleh disiapkan dalam tempoh dua minggu lagi,” katanya.









