AMPANG, 30 JULAI: Masalah banjir kilat di beberapa kawasan Dewan Negeri (DUN) Teratai terus diberi perhatian menerusi pelaksanaan projek menaik taraf sistem perparitan dan pelbagai inisiatif pengurusan banjir membabitkan peruntukan melebihi RM5 juta yang diluluskan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
Ahli Dewan Negeri (ADN) Teratai, Yew Jia Haur berkata pelbagai usaha dilaksanakan bagi menangani isu berkenaan, termasuk menaik taraf jalan raya, sistem perparitan dan lampu jalan yang semakin uzur di kawasan terbabit.
Katanya, sebahagian besar aduan diterima daripada penduduk yang sudah lama berdepan masalah banjir kilat, malah ada kawasan perumahan yang terjejas hampir 30 tahun tanpa penyelesaian menyeluruh.

"Selepas dipilih sebagai wakil rakyat, saya terus turun padang bersama Jabatan Kejuruteraan MPAJ untuk meninjau lokasi panas banjir dan mempercepatkan kelulusan pelbagai projek kawalan banjir.
"Sebahagian besar aduan yang kami terima adalah daripada penduduk, khususnya komuniti yang sekian lama berdepan masalah banjir," katanya ketika ditemui Media Selangor baru-baru ini.
Menurut Yew, beberapa projek yang telah siap kini menunjukkan hasil apabila tiada lagi aduan banjir diterima daripada penduduk di kawasan terlibat.
Antara projek yang telah disiapkan ialah kerja menaik taraf sistem perparitan di Taman Putra, Taman Putra 1, Taman Putra 2, Taman Putra 3, Taman Mawar, Taman Bukit Teratai dan beberapa kawasan perumahan lain di Bukit Teratai, selain projek menaik taraf sistem perparitan di Jalan Teratai 1/2 yang menelan belanja hampir RM1 juta.
Katanya, projek berkenaan melibatkan kerja melebarkan dan mendalamkan parit bagi meningkatkan kapasiti saliran untuk menampung aliran air yang lebih besar.
Bagaimanapun, beliau mengakui masih terdapat beberapa lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan panas banjir dan akan terus memantau pelaksanaan projek berkaitan bagi memastikan masalah itu dapat ditangani secara berperingkat.
Dalam masa sama, Yew berkata beliau turut memperoleh peruntukan lebih RM20 juta daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi melaksanakan projek naik taraf kawalan banjir dari Kampung Tasik Permai hingga Lembah Maju menerusi dua fasa.
Katanya, fasa pertama membabitkan peruntukan lebih RM18 juta dan kerja pembinaan telah dimulakan. Sementara itu, bahagian tebing sungai yang runtuh dibaiki segera menggunakan peruntukan kecemasan bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.
Beliau berkata JPS akan mengekalkan struktur semula jadi sungai selagi tidak menjejaskan kawasan sekitar. Bagaimanapun, kerja pembaikan struktur akan dilaksanakan sekiranya melibatkan kawasan perumahan, menjejaskan kehidupan harian penduduk atau menimbulkan risiko keselamatan.







