AMPANG, 2 SEPT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Yew Jia Haur mencadangkan pondok telefon awam yang terbiar di kawasan pilihannya diubah suai menjadi kemudahan baharu seperti stesen pengecas solar atau pusat bantuan kecemasan.
Beliau berkata, terdapat kira-kira 10 pondok telefon terbiar di kawasan Teratai, dengan sebahagiannya terbiar lebih 10 tahun akibat tidak lagi digunakan dan kurang penyelenggaraan.
“Struktur pondok ini sudah rosak, manakala kebanyakan kemudahan dalaman telah dibuang atau mengalami kerosakan sehingga kini hanya tinggal rangka luar.
“Pondok telefon yang terbiar bukan sahaja tidak lagi berfungsi, malah menjejaskan keindahan kawasan dan berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes,” katanya kepada Media Selangor.
Menurutnya, penggunaan pondok telefon awam kini hampir sifar berikutan hampir setiap individu memiliki telefon bimbit.
“Ia tidak lagi relevan dan hampir tiada pengguna. Saya juga merujuk amalan di beberapa bandar raya luar negara yang mengubah suai pondok telefon usang menjadi kemudahan awam baharu bagi memanjangkan fungsi serta nilainya,” katanya.
Beliau berkata antara cadangan yang boleh dilaksanakan ialah menjadikan pondok berkenaan stesen pengecas solar dan pusat bantuan kecemasan.
“Di Pulau Pinang, pondok telefon usang telah diubah suai menjadi perpustakaan mini yang membolehkan orang ramai meminjam dan menukar buku secara percuma,” katanya.
Yew Jia Haur berkata, pondok telefon yang dicantikkan semula boleh diberikan fungsi baharu, dengan stesen pengecas telefon bimbit menjadi keutamaan kerana orang ramai berdepan kebimbangan apabila kehabisan bateri ketika berada di luar.
“Memandangkan kebanyakan pondok telefon terletak berhampiran perhentian bas, terdapat keperluan untuk menyediakan kemudahan mengecas telefon di kawasan berkenaan.
“Pusat bantuan kecemasan juga boleh diwujudkan bagi membolehkan orang ramai mendapatkan bantuan sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya telah meminta ahli majlis mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk melaksanakan projek perintis berkenaan dan berharap ia dapat direalisasikan dalam masa terdekat.
“Setelah data dikumpulkan dan draf cadangan awal disediakan, ia akan dikemukakan kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) kerana pelaksanaan projek ini memerlukan kerjasama pihak majlis,” katanya.







