KLANG, 1 NOV: GM Klang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan enam syarikat bagi menaik taraf pusat borong berkenaan menjadi lokasi gaya hidup moden dan lebih menarik.
Ketua pegawai operasi GM Klang berkata kerjasama itu melibatkan D2 Arena (futsal), Kfitness Gym (gimnasium), JAQS Padel & Pickle PLT (bola pikel), Doremart (pasar raya), 33 Food Court (medan selera) serta Positif@Klang (kendera saji).
Foo Loke Ping menjelaskan, jalinan strategik itu berperanan memperkukuh ekosistem perniagaan selain memperluas tawaran gaya hidup di pusat borong tersebut.
“Kita bukan sekadar mahu menjadikan GM Klang destinasi borong terkemuka, tetapi turut membangunkannya sebagai hab gaya hidup moden yang mampu menarik pemborong, peruncit, keluarga dan komuniti tempatan,” katanya dalam kenyataan sempena Majlis Pelancaran Waktu Operasi Baharu GM Klang di sini, semalam.
Majlis yang dirasmikan oleh Datuk Bandar Klang Dato' Abd Hamid Hussain turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling serta Pengarah Urusan GM Klang Dato’ Lim Seng Kok.
Sementara itu Seng Kok berkata, lanjutan waktu operasi sehingga 10 malam yang diumumkan baru-baru ini mencerminkan evolusi penting dalam usaha memperkasa nilai keseluruhan pusat borong berkenaan.
“Kami bukan sekadar melanjutkan waktu operasi, tetapi meningkatkan nilai pengalaman pengunjung. Langkah ini sejajar dengan kehendak pelanggan dan peniaga yang mahukan suasana membeli-belah lebih fleksibel, selesa dan holistik,” ujarnya.






