ad

Lempeng sagu biji mata ikan bakal diwartakan sebagai makanan warisan Selangor

1 Nov 2025, 2:00 PM

KUALA SELANGOR, 1 NOV: Kerajaan Negeri bercadang mewartakan lempeng sagu biji mata ikan sebagai makanan warisan Selangor dalam usaha mengembalikan semula sajian tersebut khusus kepada anak muda.

EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah berkata pihaknya akan cuba makanan warisan itu diwartakan untuk dibengkelkan kepada agensi berkaitan yang terlibat dalam proses pewartaan.

“Lempeng sagu biji ini sebenarnya popular sekitar 1950 namun masyarakat ada yang tidak tahu kewujudannya dan mereka sangat teruja.

“Saya cuba hidupkan semula lempeng sagu biji ini khususnya kepada generasi baharu supaya mereka tidak ketandusan sebab banyak lagi makanan warisan,” katanya hari ini.

Ditemui pada perasmian Festival Makanan Warisan Selangor 2025, beliau memaklumkan program tersebut akan diperluaskan ke daerah Hulu Selangor pada tahun hadapan.

EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah berucap sempena Festival Makanan Warisan Selangor di Kompleks Sukan Kuala Selangor pada 1 November 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Kesemua 12 pihak berkuasa tempatan memberi kerjasama baik dengan menghidangkan pelbagai jenis lempeng dan makanan tradisional lain termasuk kuih-muih.

“Untuk edisi seterusnya, mungkin kita adakan di Hulu Selangor, ini semua dalam pertimbangan. Apa penting, kita mahu beri pengalaman kepada rakyat Selangor terutama anak muda,” katanya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang merasmikan festival tersebut menyampaikan hadiah Pavilion Terbaik kepada Majlis Perbandaran Kuala Langat yang dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang RM1,500.

Naib johan dimenangi Majlis Bandaraya Subang Jaya (RM1,000) manakala Majlis Bandaraya Petaling Jaya di tempat ketiga (RM800).

Sebelum ini, Nasi Ambeng, Sate Kajang dan Punten diisytihar dan diwarta sebagai makanan warisan Selangor.

Orang ramai tidak melepaskan peluang menghadiri Festival Makanan Warisan Selangor di Kompleks Sukan Kuala Selangor pada 1 November 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR