ad

Permohonan BINGKAS dibuka semula hingga akhir November, sasar bantu 4,500 keluarga

1 Nov 2025, 12:01 PM
Permohonan BINGKAS dibuka semula hingga akhir November, sasar bantu 4,500 keluarga
Permohonan BINGKAS dibuka semula hingga akhir November, sasar bantu 4,500 keluarga
Permohonan BINGKAS dibuka semula hingga akhir November, sasar bantu 4,500 keluarga

SHAH ALAM, 1 NOV: Permohonan program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) yang kembali dibuka mulai hari ini akan ditutup pada akhir November dan dijangka memberi manfaat kepada 4,500 keluarga memerlukan, kata EXCO Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari.

“Tiada sebarang perubahan bagi pelaksanaan kali ini. Jenis barangan yang dibenarkan dan pasar raya terlibat kekal sama seperti sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Media Selangor hari ini.

Katanya, pembukaan permohonan baharu pogram bantuan bernilai RM300 sebulan selama 24 bulan untuk pembelian barangan keperluan asas seperti makanan, ubat-ubatan serta kelengkapan pendidikan itu dibuka bagi menghabiskan kuota yang masih berbaki.

EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS) 2025 sempena penganjuran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 9 Oktober 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Beliau turut menyarankan orang ramai yang memerlukan supaya memohon melalui laman sesawang www.bingkasselangor.com atau aplikasi SELangkah, selain memastikan semua dokumen dimuat naik dengan lengkap bagi melancarkan proses semakan.

Anfaal turut menasihatkan agar pemohon bersikap jujur ketika mengemukakan permohonan, termasuk mengelak situasi suami dan isteri menghantar dua permohonan berasingan dalam satu isi rumah.

Bantuan ini merupakan sebahagian daripada 46 insentif Iltizam Selangor Penyayang yang dilancarkan pada 2022, menggantikan skim Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS IT (Ibu Tunggal).