KUALA SELANGOR, 1 NOV: Keputusan berhubung isu pembinaan Lebuhraya Pantai Barat (WCE) di Kampung Jawa, Klang diputuskan minggu hadapan, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keputusan itu akan diumumkan selepas mesyuarat akhir bersama pihak terlibat diadakan Isnin ini.
“Kita sudah teliti semua perkembangan, Insya-Allah akan dapat kata putus (penyelesaian) selepas mesyuarat akhir. Ada kesilapan dan teknikal yang kurang difahami… Datuk Borhan Aman Shah sudah uruskan.
“Penduduk mungkin ada salah faham daripada awal, namun ia telah diuruskan. Kerajaan Negeri komited untuk selesaikan bagi memastikan projek berbaki 150 meter dilengkapkan.
“Kita pun sudah maklumkan kepada WCE dan turut bermesyuarat dengan pihak kementerian. Harap ada penyelesaian menyeluruh untuk mereka,” katanya selepas merasmikan Festival Makanan Warisan Selangor di sini hari ini.

Sebelum ini, Ahli Dewan Negeri Sentosa meminta kontraktor yang dilantik WCE tidak mengganggu penduduk Kampung Jawa yang terlibat dalam proses pengambilan tanah.
Dr Gunaraj George merujuk insiden pergaduhan yang dilaporkan berlaku antara pihak kontraktor dan penduduk kampung berkenaan.
Polis turut mengesahkan menerima dua laporan berkaitan kejadian itu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah) dan Seksyen 323 (mendatangkan kecederaan).
Difahamkan, pengambilan tanah bagi projek Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (Taiping–Banting) Seksyen 3 dari persimpangan NKVE/FHR2–Mukim Klang bermula sejak 2015.
Lebuhraya sepanjang 233 kilometer itu menghubungkan Taiping, Perak ke Banting, Selangor dengan 21 persimpangan termasuk akses ke SKVE, NKVE, PLUS, NNKSB dan LATAR.
Susulan itu, WCE menafikan dakwaan menggunakan kekerasan terhadap penduduk Kampung Jawa, Klang susulan pelaksanaan projek lebuh raya itu.
Jelas WCE, kekeliruan berlaku apabila segelintir pemilik tanah enggan mengosongkan kawasan yang telah diambil secara sah oleh kerajaan persekutuan mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960.
Katanya, sehingga 30 September 2023, pampasan berjumlah RM9.8 juta sudah diluluskan oleh pentadbir tanah, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Selangor melalui Borang H, selepas pengambilan rasmi bagi Lot 15762 (11113).







