ad

Semua proses sudah dilaksanakan, tiada lagi rundingan pampasan WCE

13 Nov 2025, 4:33 AM
Semua proses sudah dilaksanakan, tiada lagi rundingan pampasan WCE
Semua proses sudah dilaksanakan, tiada lagi rundingan pampasan WCE
Semua proses sudah dilaksanakan, tiada lagi rundingan pampasan WCE

KUALA SELANGOR, 10 NOV: Semua proses termasuk perbincangan bersama penduduk hingga ke peringkat mahkamah sudah dilaksanakan susulan arahan mengosongkan tanah bagi kerja pembinaan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) membabitkan 19 penduduk di Kampung Jawa, Klang.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tiada lagi rundingan khususnya membabitkan jumlah pampasan kerana semua proses telah dilalui sepenuhnya termasuk nilaian pampasan yang dilakukan pihak penimbang tara.

"Proses telah dilalui sepenuhnya. Sudah pergi ke mahkamah, dah proses ke timbang tara. Ia (jumlah pampasan) bukan ditentukan oleh pihak pemaju, ia ditentukan pihak penimbang tara yang saya rasa menilai secara saksama dan adil.

"Saya berharap semua bertanggungjawab, kita harus menyelesaikan (isu ini) dan Kerajaan Negeri akan bantu sebaik mungkin. Tak kan 150 meter (yang tergendala dalam pembinaan WCE di Kampung Jawa itu) akan mengehadkan atau hentikan seluruh jajaran," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Persimpangan Bertingkat Eco Grandeur di Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) di sini yang dihadiri Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld Datuk Chang Khim Wah.

Ditanya sama ada terdapat pihak tidak bertanggungjawab menjadikan isu itu sebagai polemik kaum, beliau berkata pihaknya bertindak demi kemaslahatan umum.

Terdahulu, Kerajaan Selangor bersetuju memberikan tambahan dua minggu bermula hari ini hingga 24 November kepada penduduk yang terlibat dalam arahan mengosongkan tanah masing-masing bagi pembinaan Lebuhraya WCE.

Menurut EXCO Perumahan dan Kebudayaan negeri Datuk Borhan Aman Shah, surat rasmi penangguhan pengosongan tanah itu telah diserahkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Klang dan keputusan itu dibuat mengambil kira keperluan penduduk untuk menguruskan pemindahan masing-masing.

Sebelum ini penduduk terlibat diberikan tempoh tujuh hari (hingga 10 November) untuk mengosongkan tanah masing-masing.

Lebuhraya WCE yang telah 90 peratus siap merupakan projek infrastruktur utama negara melibatkan rangkaian sepanjang 233 kilometer menghubungkan Banting, Selangor ke Taiping, Perak serta turut berfungsi sebagai laluan alternatif ke Lebuhraya Utara-Selatan (Plus).