SHAH ALAM, 26 MEI: Lebih 150,000 kenderaan sehari dijangka menggunakan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) pada waktu puncak sempena Aidiladha, cuti persekolahan dan hujung minggu panjang.
WCE dalam kenyataan memaklumkan lonjakan trafik dijangka berlaku susulan pergerakan orang ramai pulang ke kampung serta mengambil peluang bercuti sepanjang tempoh berkenaan.
Bagi memastikan kelancaran perjalanan pengguna, semua kerja pembinaan dan penyelenggaraan melibatkan penutupan lorong akan ditangguhkan kecuali bagi kerja kecemasan luar jangka.
Menurut kenyataan itu, trak tunda turut ditempatkan di lokasi strategik selain Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) dan petugas peronda diperkukuh sepanjang masa.
“Langkah proaktif ini diambil bagi memastikan sebarang insiden dapat ditangani dengan segera sekali gus meminimumkan gangguan kepada aliran trafik utama,” katanya.
Pengarah Urusan Lebuhraya WCE Lyndon Alfred Felix menasihatkan pengguna supaya merancang perjalanan lebih awal dan mengutamakan keselamatan ketika memandu.
Katanya, pengguna juga digalakkan memanfaatkan aplikasi mudah alih WCE yang menyediakan maklumat trafik masa nyata, navigasi laluan serta lokasi kemudahan di sepanjang lebuh raya.
WCE turut menyediakan enam hentian rehat dan rawat (R&R) lengkap dengan kemudahan asas selain gerai makanan di beberapa lokasi terpilih bagi keselesaan pengguna sepanjang musim perayaan.








