Selangor fokus lindungi tanah gambut, tangani isu jerebu

1 Nov 2025, 6:44 AM
Selangor fokus lindungi tanah gambut, tangani isu jerebu
Selangor fokus lindungi tanah gambut, tangani isu jerebu
Selangor fokus lindungi tanah gambut, tangani isu jerebu
Selangor fokus lindungi tanah gambut, tangani isu jerebu

SEPANG, 1 NOV: Selangor terus memperkukuh komitmen terhadap kelestarian alam sekitar menerusi usaha melindungi tanah gambut sebagai langkah menangani pembakaran terbuka dan jerebu yang semakin membimbangkan.

EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata, perlindungan terhadap ekosistem tanah gambut bukan sahaja penting untuk alam sekitar, malah bagi kesejahteraan rakyat jangka panjang.

“Sambutan Hari Alam Sekitar 2025 peringkat negeri ini menjadi medium menyampaikan mesej tanggungjawab memelihara alam sekitar perlu digalas secara bersama oleh semua pihak.

"Inisiatif ini selari dengan pelaksanaan Prosedur Tetap Operasi dan Pelan Induk Pengurusan Tanah Gambut Negeri Selangor bagi menangani kes pembakaran terbuka tanah gambut dan jerebu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan berkenaan anjuran Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor di Paya Indah Wetlands, Dengkil, hari ini.

Jamaliah turut memaklumkan bahawa JAS Selangor telah mengangkat Sekolah Kebangsaan Kampung Johan Setia, Klang sebagai sekolah angkat dalam usaha memupuk kesedaran pendidikan alam sekitar pada 27 September lalu.

Katanya, Kerajaan Negeri turut melancarkan Dasar Perubahan Iklim Selangor pada 25 November 2024 sebagai panduan strategik ke arah pembangunan mampan.

“Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan dasar tersebut, Pusat Adaptasi Perubahan Iklim Selangor (SCAC) telah dirasmikan untuk menghubungkan dasar, teknologi dan kerjasama.

“Ia bagi memastikan Selangor bersedia mendepani cabaran perubahan iklim di masa hadapan,” ujarnya.

Majlis turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti antaranya Peat Run 4 Environment, Jualan Ehsan Rahmah, pameran rakan strategik JAS Selangor, bengkel lestari, kuiz interaktif serta senamrobik.

Program mesra komuniti itu turut menyediakan pemeriksaan kesihatan, aktiviti mewarna dan sesi pocket talk berkaitan kesedaran alam sekitar.