ad

Projek RM3 juta naik taraf saliran Taman Mas-Putra Prima kurangkan risiko banjir

1 Nov 2025, 12:00 AM
Projek RM3 juta naik taraf saliran Taman Mas-Putra Prima kurangkan risiko banjir

PUCHONG, 1 NOV: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) giat melaksanakan kerja menaik taraf sistem saliran utama di Taman Mas dan Putra Prima di sini bagi mengurangkan risiko banjir kilat yang sering berlaku setiap kali hujan lebat.

Ahli Majlisnya, Mohd Nazri Sohot berkata projek bernilai kira-kira RM3 juta itu melibatkan penggantian longkang lama kepada longkang jenis U yang lebih besar dan mampu menampung jumlah aliran air hujan yang tinggi.

“Longkang asal sebelum ini kecil dan sering tersumbat akibat mendapan pasir serta sampah hingga menyebabkan air melimpah ke jalan berhampiran.

“Kerja naik taraf ini dilaksanakan sebagai langkah tindakan segera bagi memastikan aliran air hujan lebih lancar,” katanya kepada Media Selangor ketika ditemui semasa membuat lawatan ke tapak projek di sini.

Ahli Majlis Perbandaran Sepang, Mohd Nazri Sohot (dua, kanan) meninjau projek menaik taraf sistem saliran di Taman Mas dan Putra Prima di Puchong. Foto Ahmad Nahar

Menurut beliau, kawasan sekitar Kampung Sri Aman Mas kini turut diselia MPSepang, sekali gus membolehkan kerja penyelenggaraan saliran dijalankan dengan lebih sistematik.

“Kerja menaik taraf ini dijangka siap dalam tempoh dua bulan lagi. Kita tidak mahu kejadian seperti tahun 2021 berulang apabila sistem saliran gagal menampung jumlah air hujan tinggi,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau menyeru penduduk agar menjaga kebersihan saluran air dan tidak membuang sampah ke dalam longkang bagi memastikan keberkesanan projek itu dalam jangka panjang.

“MPSepang komited memastikan semua longkang tersumbat diperbaiki dan dibina semula bagi menghadapi musim hujan akan datang,” katanya.

Mohd Nazri menambah, projek itu diyakini mampu mengurangkan risiko banjir kilat sekali gus meningkatkan keselesaan dan keselamatan penduduk di kawasan berkenaan.