ad

Kerja baik pulih SMK Sijangkang Jaya siap 30 peratus, jangka selesai Disember

31 Okt 2025, 2:10 PM
Kerja baik pulih SMK Sijangkang Jaya siap 30 peratus, jangka selesai Disember

SHAH ALAM, 31 OKT: Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor giat melaksanakan kerja baik pulih beberapa kerosakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sijangkang Jaya, Kuala Langat susulan kejadian ribut pada 15 Oktober lepas.

Pengarahnya, Ir Shukri Ishak berkata antara komponen yang sedang diperbaiki termasuk blok bengkel kemahiran, bumbung parkir dan laluan pejalan kaki yang masih dalam proses pembinaan.

“Kerja membaik pulih bumbung blok akademik telah siap sepenuhnya termasuk kerja pembersihan. Setakat ini, kemajuan fizikal keseluruhan dianggarkan 30 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember depan,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Menurutnya, tiga lagi sekolah yang terjejas di kawasan sama turut dalam tindakan segera.

“Kontraktor pembersihan sudah dilantik dan akan memulakan kerja dalam masa terdekat. Manakala pelantikan kontraktor bagi kerja membaik pulih bumbung berada pada peringkat akhir,” katanya kepada Media Selangor.

Minggu lalu, Shukri mengiringi Dato’ Menteri Besar Selangor semasa lawatan kerja pemantauan di SMK Sijangkang Jaya.

Dalam sesi taklimat kepada Dato’ Seri Amirudin Shari, beliau memaklumkan Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya dan SK Kampung Medan mengalami kerosakan kritikal, manakala kerosakan di SK Jalan Tanjung serta SMK Sijangkang Jaya dikategorikan sederhana kritikal.

Beliau turut menjelaskan anggaran kos pembaikan melibatkan SK Sijangkang Jaya berjumlah RM4.5 juta, SK Kampung Medan (RM3.9 juta), SMK Sijangkang Jaya (RM1.2 juta) dan SK Jalan Tanjung (RM550,000), dengan keseluruhan kos berjumlah RM10.15 juta.

Kerja baik pulih keempat-empat sekolah berkenaan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan dengan peruntukan lebih RM10 juta.