ad

Yayasan MBI salur RM400,000 bantu sekolah, mangsa terjejas ribut di Sijangkang, Meru

16 Okt 2025, 8:02 AM
Yayasan MBI salur RM400,000 bantu sekolah, mangsa terjejas ribut di Sijangkang, Meru
Yayasan MBI salur RM400,000 bantu sekolah, mangsa terjejas ribut di Sijangkang, Meru
Yayasan MBI salur RM400,000 bantu sekolah, mangsa terjejas ribut di Sijangkang, Meru
Yayasan MBI salur RM400,000 bantu sekolah, mangsa terjejas ribut di Sijangkang, Meru

KUALA LANGAT, 16 OKT: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyalurkan bantuan awal berjumlah RM400,000 bagi membaik pulih sekolah dan rumah penduduk yang terjejas akibat ribut kuat di Sijangkang dan Meru, semalam.

Ketua Yayasan MBI Mohd Azri Zainal Nor berkata bantuan segera itu bagi membolehkan kerja pembaikan dilaksanakan termasuk penggantian bumbung serta pemulihan kemudahan asas di sekolah terjejas.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor ditemui media selepas melawat keadaan Pusat Khidmat penyelaras DUN Sijangkang yang dilanda ribut dan puting beliung pada 16 Oktober 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Malam tadi saya telah berbincang bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Dato’ Ts Saipolyazan M Yusop.

"Yayasan MBI bersetuju menyalurkan RM300,000 bagi membantu kawasan terjejas, selain tambahan RM100,000 melalui dana zakat wakalah MBI menjadikan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM400,000,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau kerosakan di Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Medan, hari ini.

Menurutnya, peruntukan berkenaan diagihkan kepada enam sekolah terjejas, manakala RM100,000 disalurkan kepada Pusat Khidmat DUN Sijangkang dan RM50,000 kepada DUN Meru bagi membaik pulih rumah penduduk yang rosak.

“Kita mahu kerja pembaikan disegerakan. Kontraktor boleh membuat tuntutan semula melalui pusat khidmat DUN masing-masing selepas kerja siap,” jelasnya.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor dibawa meninjau keadaan Pusat Khidmat penyelaras DUN Sijangkang yang musnah dilanda ribut dan puting beliung pada 16 Oktober 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Mohd Azri berkata, antara sekolah yang dikenal pasti mengalami kerosakan ialah SRA Kampung Medan, SK Kampung Medan, SK Sijangkang Jaya, SK Jalan Tanjung dan beberapa sekolah lain yang sedang dinilai Jabatan Kerja Raya.

“Sekolah yang rosak teruk akan menerima bantuan antara RM20,000 hingga RM50,000 bergantung kepada tahap kerosakan. SRA Kampung Medan dan SK Kampung Medan masing-masing diperuntukkan RM50,000, manakala sekolah lain sekurang-kurangnya RM20,000,” katanya.

Selain itu, katanya, Kerajaan Negeri turut menyalurkan bantuan kepada kira-kira 70 keluarga yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Sijangkang dan Meru.

“Kita telah menghantar bantuan tambahan bagi membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat di PPS. Pasukan bantuan sedang mengagihkan barangan keperluan dan selepas itu sumbangan khas bencana akan disalurkan kepada mangsa yang berdaftar,” ujarnya.

Keadaan Sekolah Kebangsaan Kampung Medan Teluk Panglima Garang yang mengalami kerosakkan teruk selepas dilanda ribut dan puting beliung dirakaman ketika tinjauan Media selangor pada 16 Oktober 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Beliau berharap semua mangsa terus tabah menghadapi ujian berkenaan dan yakin Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan tekad memastikan segala bantuan disalurkan segera bagi memulihkan kehidupan penduduk terjejas.

Semalam, beberapa kawasan sekitar Meru, Klang dan Sijangkang, Kuala Langat dilanda ribut kuat disusuli puting beliung mengakibatkan kerosakan teruk pada kediaman, sekolah serta kenderaan penduduk termasuk SK Sijangkang Jaya dan SRA Kampung Medan.