SEMENYIH, 27 SEPT: Atap tercabut dan kediaman digenangi air selepas hujan mencurah masuk ke rumah antara pengalaman mencemaskan dilalui penduduk Kampung Batu Tiga di sini ketika dilanda ribut 18 Julai lalu.
Bagi Afifuddin Syafruddin, 29, atap rumahnya diterbangkan angin sehingga menyebabkan bahagian dalam kediaman digenangi air hujan.
Katanya, kerosakan itu segera dibaiki dalam tempoh tiga hari dengan mendapatkan khidmat kontraktor melibatkan kos kira-kira RM300.

“Bantuan yang diterima ini dapat membantu menampung sedikit kos membaiki atap rumah,” katanya ditemui pada Majlis Serahan Sumbangan Bencana Ribut di Kampung Batu 3 Semenyih hari ini.
Sementara itu, Mazsilah Sulaiman, 48, berkata keadaan ketika kejadian mencemaskan apabila atap rumahnya turut diterbangkan angin sehingga hujan mencurah masuk ke dalam kediaman.
Menurutnya, kawasan belakang rumah turut dinaiki air, manakala kos untuk membaiki keseluruhan kerosakan mencecah ratusan ringgit.
“Bantuan yang diterima mampu meringankan beban kami sekeluarga selepas terpaksa menanggung kos membaiki atap rumah,” katanya.

Kesukaran dilalui kedua-dua mangsa itu diringankan menerusi bantuan susulan Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau Yayasan MBI yang disalurkan kepada 29 mangsa ribut di Kampung Batu Tiga hari ini.
Bantuan berkenaan diberikan dalam jumlah berbeza mengikut tahap kerosakan yang dialami setiap mangsa.
Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata bantuan itu diharap dapat meringankan beban mangsa dalam menanggung kos pembaikan walaupun tidak dapat menampung keseluruhan kerugian yang dialami.








