ad

Jualan Ehsan Rahmah bantu jimat belanja dapur, barang murah, berkualiti

31 Okt 2025, 3:00 AM
Jualan Ehsan Rahmah bantu jimat belanja dapur, barang murah, berkualiti
Jualan Ehsan Rahmah bantu jimat belanja dapur, barang murah, berkualiti
Jualan Ehsan Rahmah bantu jimat belanja dapur, barang murah, berkualiti
Jualan Ehsan Rahmah bantu jimat belanja dapur, barang murah, berkualiti
Jualan Ehsan Rahmah bantu jimat belanja dapur, barang murah, berkualiti

SHAH ALAM, 31 OKT: Penganjuran Jualan Ehsan Rahmah (JER) sejak 2022 membantu penduduk terutama dalam kalangan golongan berpendapatan rendah berjimat.

Perkara itu diakui Norazizah Raja Shahadan. Menurut suri rumah itu, beliau menantikan penganjuran program sekitar rumahnya memandangkan harga produk jauh lebih murah berbanding pasaran selain berkualiti.

Memiliki ahli keluarga yang ramai, beliau berkata JER merupakan pilihan tepat untuk berbelanja sekali gus mampu mengurangkan beban kewangan suami.

“Memang tunggu. Kalau ada berhampiran rumah, saya pergi sebabnya anak ada enam orang. Mereka suka makan ayam. Beli dekat sini memang jimat. Seekor RM10. Kalau dekat luar, seekor dah dekat RM20.

Norazizah Raja Shahadan, 53, ditemui dalam Program Jualan Ehsan Rahmah DUN Sentosa di Jalan Dato Dagang 39, Klang pada 13 Oktober 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Telur sepapan RM10. Dekat luar tak dapat harga ini, berbelas-belas ringgit dekat tempat lain. Jadi, tiap kali datang terus beli banyak. Macam sekarang saya boleh beli sampai empat ekor, dapat tahan lebih seminggu. Jadi dapat kurangkan kos belanja dapur,” katanya kepada Media Selangor.

Menggunakan produk JER sejak tiga tahun lalu, Norazizah berkata penganjuran ketika ini semakin baik dan urusan pembelian juga semakin lancar malah jualan turut menawarkan pelbagai keperluan.

Berbanding penganjurannya pada peringkat awal, Norazizah berkata dia terpaksa pergi awal pagi untuk mendapatkan nombor giliran selain hanya mempunyai enam produk sahaja.

“Dulu kena datang awal pagi, beratur. Ambil nombor. Tambah hari minggu ramai datang. Kalau hari bekerja, orang tak ramai sangat. Sekarang memang dah makin baik. Urusan semua lancar.

“Sekarang banyak juga produk dijual. Bukan makanan saja, ada juga pencuci dan lampin bayi. Kalau tengok, memang program ini sangat bantu penduduk. Harapnya akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu A Shanti, 54, berkata JER turut meringankan kos belanja ketika musim perayaan kerana turut menganjurkan program berskala besar dengan penjualan barangan keperluan raya.

Suri rumah itu berkata usaha dilakukan itu juga memudahkan penduduk mendapatkan akses membeli kelengkapan raya.

A Shanti ditemui dalam Program Jualan Ehsan Rahmah DUN Sentosa di Jalan Dato Dagang 39, Klang pada 13 Oktober 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Ketika Deepavali, program ini lagi besar. Bekalan ayam, telur juga banyak. Lagi senang untuk kami dapatkan keperluan sambut raya. Boleh beli dalam kuantiti banyak.

“Kalau bukan perayaan pun, saya memang beli di sini Saya tunggu JER di kawasan rumah. Selalunya kawan-kawan kongsi dekat mana tempat jualan, senang kita pantau,” katanya.