ad

Fiesta Warisan MBSJ tawar hadiah RM18,000, himpun seni, budaya, makanan tradisi

31 Okt 2025, 12:19 AM
Fiesta Warisan MBSJ tawar hadiah RM18,000, himpun seni, budaya, makanan tradisi
Fiesta Warisan MBSJ tawar hadiah RM18,000, himpun seni, budaya, makanan tradisi
Fiesta Warisan MBSJ tawar hadiah RM18,000, himpun seni, budaya, makanan tradisi
Fiesta Warisan MBSJ tawar hadiah RM18,000, himpun seni, budaya, makanan tradisi

SHAH ALAM, 31 OKT: Pelbagai acara termasuk pertandingan yang menawarkan hadiah terkumpul lebih RM18,000 menanti pengunjung Fiesta Kebudayaan dan Makanan Warisan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) 2025.

Menurut pihak berkuasa tempatan itu, ia berlangsung 22 dan 23 November ini di Subang Parade, Subang Jaya dan pelbagai pengisian menarik disediakan termasuk persembahan artis Noraniza Idris.

MBSJ memaklumkan selain itu pertandingan tarian nasi ambeng, koir sekolah rendah dan menengah dan nyanyian lagu irama Malaysia turut dianjurkan.

“Turut dianjurkan, pertandingan kompang berirama terbuka dan pertandingan bercerita peringkat sekolah rendah bertemakan cerita dongeng Melayu,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut MBSJ, penganjuran kali kedua ini merupakan inisiatif berterusan agensi itu dalam memperkasa serta memelihara warisan seni budaya pelbagai etnik di Malaysia khususnya di Selangor.

“Fiesta ini memperkaya penghayatan masyarakat terhadap kepelbagaian budaya sebagai teras perpaduan negara melalui penglibatan aktif komuniti yang menzahirkan keharmonian dalam kepelbagaian.

“Penganjuran ini turut memperkasa pembangunan bakat generasi muda serta melestari warisan di samping menyokong pertumbuhan ekonomi komuniti melalui penyertaan usahawan tempatan dalam jualan dan pameran makanan warisan.

“Pelaksanaan ini menyokong aspirasi menjenamakan bandar raya Subang Jaya sebagai bandar raya progresif, inklusif dan destinasi pelancongan budaya,” katanya.

MBSJ menyasarkan penglibatan pelbagai pihak merangkumi penggiat seni, golongan belia, pelajar sekolah serta institusi pengajian tinggi awam dan swasta, penduduk dalam kawasan pentadbiran MBSJ bersama pelancong dari dalam dan luar negara.

“MBSJ mengalu-alukan kehadiran semua untuk memeriahkan fiesta ini sekali gus meraikan keindahan warisan seni budaya negara dalam suasana harmoni dan inspiratif,” katanya.