KUALA SELANGOR, 30 OKT: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyampaikan sumbangan lapan unit kerusi roda dan tiga buah katil hospital kepada penduduk asnaf di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burong.
Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata bantuan itu disalurkan melalui zakat wakalah MBI dengan nilai keseluruhan hampir RM20,000 bagi membantu keperluan harian golongan kurang berkemampuan.
“Sumbangan ini akan diagihkan melalui ketua-ketua kampung supaya kemudahan seperti kerusi roda dan katil hospital dapat dimanfaatkan oleh asnaf yang memerlukan di kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan kepada ketua-ketua kampung di kawasan DUN Sungai Burong dalam sebuah majlis di Warisan De’Village, Tanjong Karang, hari ini.
Menurut Ahmad Azri, peruntukan zakat wakalah Yayasan MBI tahun ini berjumlah sekitar RM900,000 yang disalurkan kepada empat kategori asnaf iaitu fakir, miskin, gharimin dan fisabilillah.
“Kami sentiasa membantu kawasan ini terutama apabila berlaku bencana seperti ribut dan kebakaran,” katanya.
Sementara itu, Penyelaras DUN Sungai Burong, Marwan Ahmad, berkata sumbangan tersebut dapat meringankan beban penerima memandangkan kos peralatan seperti kerusi roda dan katil hospital agak tinggi.
“Ramai penduduk di Sungai Burong tidak berkemampuan membeli kemudahan seperti ini. Dengan adanya bantuan ini, beban mereka dapat dikurangkan,” ujarnya.
Marwan turut menzahirkan penghargaan kepada Yayasan MBI yang sentiasa memberikan maklum balas segera terhadap aduan serta keperluan penduduk yang disalurkan melalui pejabat penyelaras DUN.





