KUALA LANGAT, 28 SEPT: Penerima Insentif Haji Muassasah 2026 di DUN Sijangkang menyifatkan sumbangan RM1,500 daripada Kerajaan Selangor sebagai sagu hati selepas selesai menunaikan ibadah haji di Tanah Suci.
Suri rumah, Rafiza Razak, 53, dari Taman Perwira berkata pemberian itu menggembirakan penerima selain menjadi tanda penghargaan Kerajaan Selangor kepada rakyatnya yang menunaikan ibadah haji.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana diberikan insentif Kerajaan Negeri Selangor kepada penduduk Selangor. Bantuan ini sekurang-kurangnya dapat menjadi saguhati dan memberi kegembiraan kepada kami,” katanya.
Menurutnya, program tersebut turut memberi peluang kepada penerima bertemu rakan serta mengeratkan silaturahim selepas kembali dari Tanah Suci.

Pesara, Sarimah Tosman, 65, dari Taman Perwira berkata bantuan itu dapat digunakan untuk membeli keperluan harian, terutama selepas tidak lagi mempunyai pendapatan tetap.
“Dapat membantu terutama untuk keperluan harian sebab kita sudah tidak bekerja dan tiada pendapatan. Alhamdulillah, dapat insentif haji ini,” katanya.

Sementara itu, pekerja industri, Saiful Amirudin Mohd Solehi, 53, dari Batu 10, Kebun Baru berkata sumbangan itu sedikit sebanyak membantu meringankan beban kewangan keluarga selepas mengeluarkan perbelanjaan besar untuk menunaikan ibadah haji.
“Sangat berbesar hati dengan sumbangan Kerajaan Negeri. Sedikit sebanyak dapat membantu memperbaiki kedudukan kewangan selepas pulang dari haji. Ketika pergi haji, banyak perbelanjaan yang perlu dikeluarkan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan bakal jemaah supaya membuat pendaftaran lebih awal selain memberi perhatian terhadap persiapan kesihatan dan kewangan sebelum berangkat ke Tanah Suci.









