SHAH ALAM, 29 OKT: Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS) menyalurkan sumbangan wakaf tunai korporat berjumlah RM250,000 kepada Perbadanan Wakaf Selangor (PWS).
PWS dalam kenyataan di Facebook memaklumkan TERAS merupakan antara rakan korporat paling konsisten menyokong agenda wakaf di Selangor.
“Sejak 2020 hingga 2025, TERAS menyalurkan sumbangan keseluruhan sebanyak RM250,000 kepada PWS bagi memperkasa projek wakaf berimpak tinggi.
“Sumbangan ini mencerminkan komitmen strategik TERAS dalam memperkukuh ekosistem ekonomi ummah dan memperluas manfaat wakaf melalui rangkaian korporat serta sosial yang lestari,” katanya.
Baru-baru ini, PWS menerima sumbangan wakaf tunai korporat sebanyak RM100,000 daripada TERAS sempena Majlis Peluncuran Gedung Fesyen TERAS di Petaling Jaya.
Cek cura disampaikan Pengerusi TERAS, Dato' Bakhtiar Hussin kepada Pengerusi PWS, Dato’ Ibrahim Md Yusof dengan disaksikan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Senator Dato’ Setia Salehuddin Saidin.
PWS turut mengalu-alukan sumbangan wakaf dan orang ramai boleh berwakaf secara dalam talian melalui fpx.wakafselangor.gov.my atau infaqpay.my/go/wakafselangor.




