KAJANG, 29 OKT: Status representasi Ketua Pegawai Eksekutif GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali dan 21 individu lain bagi mengkaji semula pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang akan diputuskan Mahkamah Tinggi Shah Alam, Khamis ini.
Keputusan itu akan disampaikan Hakim Datuk Seri Latifah Mohd Tahar dalam prosiding di Kompleks Penjara Kajang, lapor Sinar Harian.
Sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya Norinna Bahadun memaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) memerlukan masa meneliti representasi daripada semua tertuduh.
Peguam Datuk Rosli Kamaruddin yang mewakili kesemua tertuduh berkata, representasi dikemukakan bagi membolehkan AGC mempertimbang semula pertuduhan, termasuk kemungkinan menukar kepada seksyen dan hukuman lebih ringan.
Pada 23 Oktober 2024, Nasiruddin, 66, isterinya Azura Md Yusof, 58, anak bekas pengasas Al-Arqam, Mohammad Adib At-Tamimi Asa’ari, 33, serta 19 pemimpin GISBH lain didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang sejak 2020.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan kerana kes berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Namun, pada 24 Mac lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan semua tertuduh wanita diikat jamin RM40,000 dengan dua penjamin dan syarat tambahan melapor diri setiap dua minggu.
Kesemua tertuduh lelaki pula kekal ditahan sementara menunggu perbicaraan.




