MAIS perkukuh usaha pulih akidah bekas ahli GISBH, libatkan 2,586 individu

14 Jan 2026, 11:56 AM
MAIS perkukuh usaha pulih akidah bekas ahli GISBH, libatkan 2,586 individu
MAIS perkukuh usaha pulih akidah bekas ahli GISBH, libatkan 2,586 individu
MAIS perkukuh usaha pulih akidah bekas ahli GISBH, libatkan 2,586 individu

SHAH ALAM, 14 JAN: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) terus memperkukuh usaha pemulihan akidah secara menyeluruh terhadap bekas ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).

Pengerusi MAIS Dato’ Salehuddin Saidin berkata pihaknya bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Agama Islam Selangor, Lembaga Zakat Selangor serta pihak pengurusan masjid bagi memastikan proses pemulihan akidah dilaksanakan dengan berkesan

”Setakat 31 Disember 2025, seramai 1,176 orang dewasa dan 1,410 kanak-kanak bekas ahli GISBH telah berdaftar sebagai asnaf Riqab, membolehkan bantuan disalurkan secara sah dan berterusan.

”Melalui peruntukan asnaf Riqab, MAIS telah membelanjakan RM4.9 juta sepanjang 2025 bagi menyokong usaha pemulihan serta kebajikan golongan terbabit” katanya ketika menyampaikan perutusan MAIS 2026 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, hari ini.

Salehuddin turut menzahirkan rasa syukur atas kelulusan Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor (Pindaan) 2025 oleh Dewan Undangan Negeri pada 7 Julai lalu.

“Pindaan ini sangat penting bagi memastikan usaha Kerajaan Negeri dan MAIS dalam mempertahankan keharmonian pengurusan dan pentadbiran agama Islam di negeri ini berlandaskan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa langkah pemulihan akidah serta pengukuhan perundangan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dan MAIS dalam melindungi umat Islam daripada sebarang penyelewengan akidah.