ad

ADN: Pemimpin GISBH perlu bertanggungjawab terhadap kanak-kanak

16 Nov 2025, 8:50 AM
ADN: Pemimpin GISBH perlu bertanggungjawab terhadap kanak-kanak
ADN: Pemimpin GISBH perlu bertanggungjawab terhadap kanak-kanak

PETALING JAYA, 16 NOV: Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku, Lim Yi Wei menyatakan keprihatinannya terhadap isu penganiayaan kanak-kanak yang melibatkan pemimpin GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) sambil menyeru ketelusan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Beliau berkata walaupun menghormati keputusan mahkamah, perkara itu perlu diteliti agar sebarang tindakan atau keputusan yang diambil adalah setimpal dengan skala operasi yang dijalankan oleh pihak berkenaan.

“Saya menghormati keputusan mahkamah terhadap pembebasan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali, anak bekas pengasas Al-Arqam dan 11 pemimpin tertinggi syarikat itu.

"Namun, mereka perlu bertanggungjawab terhadap kanak-kanak yang menjadi mangsa termasuk mengakui kesalahan dan memberikan penjelasan sewajarnya kerana sehingga hari ini, masih tiada permohonan maaf rasmi dibuat,” katanya kepada Media Selangor.

ADN Kampung Tunku Lim Yi Wei berucap ketika Karnival Kesihatan Kampung Tunku di Taman Aman, Petaling Jaya pada 16 November 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Dalam pada itu, Yi Wei turut menegaskan bahawa kesedaran dan ketelusan dalam menangani isu itu amat penting bagi memastikan tiada penindasan atau kecuaian terhadap golongan yang paling terdedah sekali gus menegakkan prinsip keadilan dalam masyarakat.

Pada 7 November lalu, media melaporkan Nasiruddin dan 11 pemimpin tertinggi syarikat itu dibebaskan serta-merta selepas menjalani hukuman penjara selama 13 bulan 20 hari di Penjara Sungai Buloh.

Kesemua tertuduh dibebaskan selepas selesai menjalani hukuman penjara memandangkan mereka ditahan reman dari tarikh tangkap antara 25 September hingga 12 Oktober 2024.

Manakala bagi sembilan lagi tertuduh wanita yang didakwa atas pertuduhan sama pula dikenakan hukuman denda RM4,500 dan boleh dihukum penjara selama tujuh bulan jika gagal membayar denda.