KAJANG, 7 NOV: Seramai 13 lelaki termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali dan anak bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad, dijatuhi hukuman penjara 15 bulan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini selepas mengaku bersalah menjadi anggota pertubuhan menyalahi undang-undang itu.
Selain Nasiruddin, 66, dan Mohammad Adib At-Tamimi, 33, tertuduh yang lain ialah Mohd Shukri Mohd Noor, 54; Muhammad Afdaluddin Latif, 35; Mohamad Sayuti Omar, 36; Mohd Fazil Md Jasin, 58; Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 35; Mokhtar Tajuddin, 61; Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29; Abu Ubaidah Ahmad Shukri, 35; Shuhaimi Mohamed, 57; Hasnan Abd Hamid, 54; dan Muhammad Zahid Azhar @ Nadzri, 52.
Hakim Datuk Seri Latifah Mohd Tahar, yang bersidang di Kompleks Penjara Kajang, memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh mereka ditangkap, iaitu antara 25 September 2024 hingga 12 Oktober 2024.
Sementara itu, isteri Nasiruddin, Azura Md Yusof, 58, bersama lapan wanita lain, didenda RM4,500 setiap seorang selepas turut mengaku bersalah atas pertuduhan sama.
Lapan wanita berkenaan ialah Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28; Nur Jannah Omar, 33; Hamimah Yakub, 72; Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 45; Nurul Jannah Idris, 29; Siti Salmiah Ismail, 58; Siti Hajar Ismail, 52; dan Mahani Kasim, 55.
Mahkamah turut memerintahkan kesemua sembilan wanita itu dipenjara tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda.
Mereka sebelum ini didakwa atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan. Namun, Jabatan Peguam Negara menerima representasi yang dikemukakan semua tertuduh untuk mengkaji semula pertuduhan berkenaan.
Mengikut pertuduhan pilihan, kesemua mereka didakwa menjadi anggota GISBH, iaitu sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang, di sebuah premis di Bandar Country Homes, Rawang, antara Oktober 2020 hingga 11 September 2024.
Pertuduhan mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama, yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Latifah berkata mahkamah mengambil kira pengakuan bersalah kesemua tertuduh terhadap pertuduhan pilihan selepas mendengar hujah pemberatan pihak pendakwa raya dan pengurangan hukuman oleh pihak pembelaan.
“Tertuduh lelaki dalam kes ini seramai 13 orang dan mahkamah mengambil kira bahawa mereka telah mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan serta menunjukkan rasa insaf dan kesal. Mahkamah juga mengambil kira bahawa mereka telah berada dalam tahanan reman selama 13 bulan,” katanya.
Bagi tertuduh wanita, hakim itu berkata mahkamah juga mengambil kira pengakuan salah mereka dan tempoh mereka berada dalam tahanan reman lebih kurang enam bulan sebelum dibenarkan diikat jamin.






